Idris Ahmad
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad bersama timbalannya,Datuk Ahmad Marzuk Shaary (kiri) bergambar bersama para hadirin pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Solat Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Kompleks Islam Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 04 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad mengakui hanya ibadat sembahyang sahaja boleh menghidarkan diri khususnya pemimpin negara daripada terjerumus kepada amalan rasuah.

Beliau berkata, tindakan pengabaian sembahyang fardhu khususnya akan melahirkan individu dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab yang akhirnya terlibat dalam perkara haram di sisi Islam.

“Saya menggambarkan solat itu teras kepada kehidupan kita. Kita tahu akibat pengabaian solat ini maka lahir macam-macam.

“Kalau jadi suami, maka tidak bertanggungjawab, kalau jadi isteri pula, tidak taat kepada suami, anaknya pula derhaka.

“Bila dia solat, dia takut nak makan benda-benda yang haram, rasuah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di Kompleks Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini, hari ini.

Idris Ahmad
Idris Ahmad

Terdahulu beliau merasmikan Pelancaran Bulan Solat Peringkat Kebangsaan 2022.

Hadir sama Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pemangku Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff. – MalaysiaGazette