KUANTAN – Mayat seorang pemuda OKU mental yang dikhuatiri lemas sejak 4 Februari lalu ditemui pada jam 6 petang tadi di Sungai Belat, Perkampungan Sri Damai, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat dijumpai terapung di sungai itu, kira-kira 200 meter dari Jambatan Sungai Belat.
“Mangsa dikatakan telah keluar daripada rumahnya pada 4 Februari lalu pada pukul 2 petang dan tidak pulang-pulang.
“Kemudian bapa mangsa dimaklumkan oleh anak lelakinya mengatakan motosikal mangsa telah dijumpai di jambatan dan usaha mencarinya di sekitar kawasan berkenaan namun gagal menjumpai simati pada hari pertama,” katanya.
Tambah Wan Mohd Zahari, bapa mangsa membuat laporan kehilangan anaknya, Mohd Rezuan Mohamad, 35, pada keesokan hari di Balai Polis Jaya Gading, Kuantan.
Susulan itu, pihak polis bersama empat orang ahli keluarganya pergi ke jambatan di lokasi motosikal dijumpai untuk membuat pencarian mangsa yang merupakan anak ketujuh daripada lapan adik-beradik.
“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang telah tiba pada 6.10 petang diketuai satu pegawai dan tujuh anggota untuk menaikkan mayat dan operasi menyelamat selesai pada 6.20 petang,” ujarnya.
Jenazah mangsa dibawa ke Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette