Temubual ekslusif SkopMG bersama Penganalisis Pilihan Raya dan Penulis Buku Pilihan Raya Demokrasi, Dr. G Manimaran mengenai PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan pendidikan pilihan raya dapat diberikan kepada pengundi 18 tahun sebelum bermula Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penganalisis pilihan raya, Dr G Manimaran berpendapat, perkara itu boleh dibawa ke mesyuarat Kabinet dan diusulkan agar pengetahuan pilihan raya dapat disampaikan sesegera mungkin.

“Perkara ini penting untuk memastikan proses pilihan raya dan pengundi baharu ini tahu mengenai perkara ini.

“Pilihan raya bukan perkara yang boleh remeh atau main-main.

“Ini isu serius, yang menentukan masa depan negara dan kerana itu penting semua pihak memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat yang betul khususnya kepada pengundi automatik dan pengundi 18 tahun ini,” katanya dalam program SKOP MG malam tadi dengan tajuk ‘PRN Johor: Undi 18 Jadi Penentu.’

Menerusi kupasan selama satu jam itu, Manimaran juga menekankan penyampaian maklumat itu boleh dilakukan sesegera mungkin.

“Kalau nak mula sekarang pun boleh, masih ada masa dan ia sebenarnya bukan tertakluk kepada arahan perdana menteri sahaja.

“Tetapi kalau ada arahan, pasti ia akan dilakukan dengan lebih pantas dan teratur dan mungkin akan dijadikan silibus dalam pembelajaran walaupun tiada keperluan,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan pilihan raya sangat diperlukan agar generasi kali pertama turun mengundi tahu keputusan mereka akan memberi impak besar.

“PRN Johor akan jadi penanda aras kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Dengan pertambahan hampir 30 peratus pengundi automatik ini di Johor, kita akan melihat sejauh mana pilihan orang baharu ini kepada keputusan nanti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Manimaran yang juga merupakan penulis buku Pilihan Raya Demokrasi menjelaskan, beberapa faktor akan menjadi indikator pemilihan pengundi baharu.

“Ada beberapa perkara yang perlu diberikan penekakan antaranya janji parti atau calon untuk menarik hati pengundi baharu.

“Janji ini sangat penting kerana selepas menang, apakah janji itu akan ditunaikan?

“Apakah ia sekadar janji kosong menarik perhatian sahaja? Inilah yang akan dinilai oleh pengundi baharu.

“Selain itu, isu tidak sahih juga mampu menarik hati pengundi baharu memandangkan mereka masih belum matang dalam situasi politik semasa.

“Media sosial yang sering digunakan sebagai medium menyebar luas isu-isu tidak sahih, jadi jika mereka tidak tahu menilai dan membuat perbandingan, akhirnya akan dapatlah keputusan yang tidak betul,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan dan semua pihak termasuk parti politik harus memainkan peranan sebaiknya untuk memastikan pendidikan pilihan raya disampaikan dengan segera dan berilmu.

“Maksud pendidikan itu bukan nak pilih parti mana atau calon, sebaliknya mendidik generasi ini bijak membuat penilaian, belajar apa itu sistem demokrasi, perlembagaan dan hak-hak sebagai pengguna dan rakyat.

“Dengan keterbukaan ini, akan dapat melahirkan generasi yang bijak berfikir dan akhirnya tidak mudah termakan hasutan atau berita tidak benar,” ujarnya.

PRN Johor akan diadakan tidak lama lagi selepas Dewan Undangan Negeri Johor dibubar pada 22 Januari lalu.

PRN Johor mempunyai lebih 749,731 pengundi automatik termasuk yang berusia 18 tahun. – MalaysiaGazette