KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Puad Zakarshi menempelak Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mencabarnya supaya menamakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai poster boy.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, yang beria-ia mahu jadi poster boy ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Di Sabah dia poster boy. Di Melaka dia juga poster boy. Maka kenapa di Johor dia bukan poster boy? Itu sebab saya cabar. Pendirian UMNO cukup jelas, di Melaka Dato Sulaiman poster boy. Di Johor, Dato Hasni poster boy.
”Maka tidak timbul Zahid mahu jadi poster boy. Wan Saiful melangitkan Muhyiddin sebagai PM terbaik. Muhyiddin pula dakwa dia PM paling popular. Maka jadilah poster boy kali ke-3,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau menjawab kenyataan Wan Saiful yang mencabar UMNO untuk menggunakan Ahmad Zahid atau Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai poster boy bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Wan Saiful berkata, jika benar UMNO masih satu parti yang harmoni dan tidak mahu berselindung di sebalik watak ‘baik’ serta membawa nama individu bermasalah, mereka perlu membuktikan sesuatu.
Beliau berkata, perkara itu juga bagi menjawab persoalan sering kali ditujukan oleh pimpinan UMNO adakah Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu akan terus menjadi poster boy mereka bagi PRN kali ini.
Mohd Puad menambah, sebenarnya Muhyiddin malu nak jadi poster boy di negeri kelahirannya kerana malu terkubur di negeri sendiri.
Oleh sebab itu, beliau tidak berani pertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Gambir. – MalaysiaGazette