PENGERANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pengerang berharap Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar dan DUN Tanjung Surat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Bersatu Bahagian Pengerang, Mohd Faizal Asmar berkata, perlawanan satu lawan satu antara PN dan Barisan Nasional (BN) perlu bagi mengelak pertandingan tiga penjuru.
“Parlimen Pengerang ada dua DUN iaitu DUN Penawar dan DUN Tanjung Surat. Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kedua-dun DUN ini ditandingi parti pembangkang tetapi malangnya ia kalah teruk dengan BN.
“Baru-baru ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Johor mengumumkan untuk bertanding di semua 56 kerusi DUN Johor.
“Sebagai pemimpin peringkat akar umbi, saya amat mengalu alukan seruan ini. Kami sedang mempersiapkan pasukan yang berwibawa dan utuh bagi mewakili PN di peringkat DUN ini.
“Kami sedar akan perkara itu dan mengambil iktibar akan kekalahan itu. Ini menunjukkan parti-parti seperti ini masih belum diterima oleh masyarakat Melayu di luar bandar.
“Oleh yang demikian kami berharap agar parti-parti ini mengambil sikap memberi laluan kepada PN untuk berlawan dengan BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Faizal, dengan kekuatan pasukannya yang telah disiapkan sejak Ogos 2020 lagi serta penerimaan oleh pengundi Melayu, pihaknya yakin dapat memberi saingan sengit kepada BN.
PRU-14 menyaksikan perebutan kerusi antara UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO memenangi kerusi DUN Penawar dengan majoriti 7,134 undi manakala DUN Tanjung Surat pula dengan 4,522 undi.
“Tambahan pula, semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri kelapan, beliau telah berjaya membayar hutang-hutang peneroka Felda. Hasil survei kami, mereka semua sangat terhutang budi dengan bekas Perdana Menteri itu.
“Oleh itu saya menyeru parti-parti ini berlapang dada memberi laluan untuk PN memberi saingan sengit kepada BN,” katanya. -MalaysiaGazette