Semalam, orang ramai dikejutkan dengan insiden takungan air Jalan Raya Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di Pulau Pinang selepas satu rakaman video menunjukkan dua kenderaan terperangkap tular di media sosial.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri menyiasat dan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung kejadian takungan air Jalan Raya Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di sini semalam.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, kejadian yang berlalu di jalan raya itu menimbulkan banyak persoalan mengenai kebolehgunaan dan keselamatan projek berkenaan sehingga berlaku takungan air selain menyebabkan dua kenderaan terperangkap.

Oh Tong Keong.

“MBPP membelanjakan RM378.2 juta bagi projek itu, mengapa rakyat Pulau Pinang mendapat kualiti projek pembinaan yang rendah?

“Adakah projek itu bermasalah? Adakah ia hanya ‘projek hampas tauhu’ yang berkonstruksi rendah?

“Kejadian itu berlaku dalam masa singkat dan kerajaan negeri perlu membuat siasatan segera dengan memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mendakwa masalah banjir yang berlaku di bahagian Selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia berpunca daripada rasuah.

“Guan Eng pada masa itu berkata, bahawa masalah banjir di kawasan berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun sekiranya DAP mengambil alih kuasa pentadbiran kerajaan pusat dan negeri Pahang.

“Menurut logik Guan Eng, kami ingin bertanya adakah insiden takungan air di Jalan Raya Berkembar itu berpalit dengan isu rasuah?

“Jalan raya itu memanfaatkan kira-kira 60,000 pengguna jalan raya setiap hari namun kita dapat lihat bahawa ia bukan sahaja tidak memberi kemudahan kepada rakyat tetapi mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya lagi.

Semalam, orang ramai dikejutkan dengan insiden takungan air Jalan Raya Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) di sini selepas satu rakaman video menunjukkan dua kenderaan terperangkap tular di media sosial.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, kejadian itu disebabkan daun kering dan sampah sarap menghalang laluan air keluar dari sistem perparitan.

“Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 6.30 petang di bahagian penghujung jejantas menghala ke Jalan Tun Sardon.

“Bagaimanapun, kerja pembersihan dilaksanakan segera dan laluan itu sudah kembali sempurna serta selamat digunakan orang awam.

“Sehubungan itu, MBPP berharap supaya orang awam dapat bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah sewenang-wenangnya,” katanya.

Untuk rekod, Jalan Raya Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) itu di buka kepada orang ramai pada 13 Januari lalu dan menjadi jalan raya tertinggi di Malaysia. – MalaysiaGazette