KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan di bawah AirAsia Aviation Limited sekali lagi diiktiraf dengan tahap keselamatan dan integriti operasi tertinggi dengan penilaian 7/7 daripada pakar keselamatan industri penerbangan di airlineratings.com.
AirAsia Aviation Limited merupakan anak syarikat Capital A Berhad yang dahulu dikenali sebagai AirAsia Group Berhad.
AirAsia Malaysia, Thailand, dan Filipina menerima pengiktirafan tersebut berikutan rancangan mitigasi Covid-19 yang kukuh dan komprehensif melalui pengumuman yang dibuat oleh airlineratings.com baru-baru ini.
Sebelum ini, penilaian serupa juga telah dianugerahkan semasa kemuncak pandemik pada tahun 2020.
AirAsia menerusi kenyataannya berkata, syarikat penerbangan itu telah dinamakan sebagai salah satu daripada 20 syarikat penerbangan tambang rendah paling selamat bagi tahun 2022 oleh pakar penerbangan yang sama.
AirAsia juga antara yang pertama mencapai penarafan keselamatan Covid tertinggi daripada airlineratings.com pada tahun 2020 dengan pelaksanaan pelbagai inovasi industri menjadikan perjalanan lebih lancar dan selamat dalam dunia baharu perjalanan udara.
Bo Lingam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited berkata, “Keselamatan adalah faktor utama untuk perjalanan udara dan ia amat penting kerana kita sudah mula hidup dengan virus tersebut.
“Ini adalah pencapaian yang hebat untuk syarikat penerbangan kami dan saya berterima kasih kepada pakar di airlineratings.com kerana memahami dan mengiktiraf kerja keras kami untuk memastikan syarikat penerbangan ini bukan sahaja menawarkan keselamatan dan tambang berpatutan, malah menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan selamat dengan ciri-ciri tanpa sentuhan,” katanya.
Semua pesawat diselenggara mengikut piawaian kejuruteraan paling ketat seperti yang ditetapkan oleh syarikat pengeluar pesawat bagi mencapai akreditasi oleh Audit Keselamatan Operasi (IOSA) yang merupakan penanda aras global untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa.
Selain itu, AirAsia juga hanya akan menerima dan membenarkan penumpang dan juruterbang serta kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya.
Begitu juga dengan kakitangan operasi dan pengendali bagasi di terminal.- alaysiaGazette