KUALA LUMPUR – Gagal mengikut arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim merupakan antara punca kelewatan kerja-kerja membaik pulih bumbung empat blok pangsapuri Taman Melati, Setapak, di sini, yang terjejas teruk selepas dilanda ribut, sejak dua minggu lalu.
Alasan lewat kerana sambutan Tahun Baharu Cina, antara helah diberikan salah seorang pegawai sebuah yayasan di sini yang dipertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dihadapi 16 keluarga sejak dijanjikan pada 24 Januari lalu yang kini hanya tinggal janji.
Mangsa banjir mungkin hanya sekali sahaja menghadapi air bergenang di dalam rumah, sebaliknya bagi mangsa ribut dan angin kencang pula, kediaman mereka dimasuki bukan hanya sekali malah beberapa kali kerana ketiadaan bumbung.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kawasan 4A Taman Melati, Setapak, Mohd Azhar Md Rosdy berkata, pihaknya diberi jaminan daripada Menteri Wilayah Persekutuan sendiri untuk menyegerakan pemasangan bumbung baharu.
“Pada malam kejadian, Menteri Wilayah kata anggap perkara ini selesai, kita ingatkan bila kata selesai buat segera, lagi seminggu Tahun Baharu Cina, tutup apa patut, kalau hujan lagi, banyak lagi barang rosak.
“Sehingga sekarang apa yang kita lihat, ini sahaja mampu dibuat, setelah 14 hari bumbung pangsapuri ini diterbangkan ribut, hanya kanvas mampu dipasang, saya dimaklumkan minggu depan baru bumbung sampai.
“Mengapa lewat sangat, kalau banjir, sekali sahaja kena banjir hilang, ini bukan sekali tetapi sudah berkali-kali rumah mereka banjir, mana kita punya Yang Berhormat…Menteri…mana yang patut datang bantu kita,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Taman Melati, Setapak, di sini, semalam.
Mohd Azhar berasa hairan apabila arahan Menteri Wilayah Persekutuan bagaikan melepaskan batuk di tangga kerana hanya kanvas sahaja dipasang sedangkan ia tidak mampu menghalang air hujan memasuki kediaman penduduk.
“Saya pun tak tahu kenapa dia bagi alasan nak Tahun Baharu Cina, sepatutnya perkara ini tak jadi masalah apa raya pun, sebagai pihak berkuasa, Menteri boleh arahkan untuk buat secepat mungkin.
“Isnin kena ribut, Khamis sepatutnya boleh siap bumbung, tapi tertangguh sehingga ke hari ini kerana Tahun Baharu Cina, sedangkan perkara ini adalah satu bencana, bukan projek menaik taraf bumbung sedia ada.
“Malangnya tiada arahan untuk menyegerakan kerja-kerja baik pulih ini, Menteri Wilayah beri arahan segera…tapi tengoklah macam mana arahan segera itu dibuat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Inilah kalau kuasa berkongsi dengan musuh dia sengaja sabotajkan supaya negeri juga dibenci rakyat