Pusat rekreasi dan riada di Taman Bandar, Indera Mahkota 7 Kuantan

KUANTAN – Pusat rekreasi Taman Bandar yang terletak di Indera Mahkota 7, Kuantan yang dulu suram kini kembali ceria selepas pelbagai usaha dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, pusat rekreasi yang menjadi tumpuan masyarakat untuk beriadah itu berfungsi daripada pagi sehingga malam.

Rainbow Walk

“Kalau dahulu, pengunjung hanya boleh beriadah pada waktu siang kini setelah dipasang sekeliling lampu di keliling tasik, pengunjung boleh bersenam waktu malam.

“Usaha murni bagi mengimarahkan dan mengindahkan Taman Bandar ini bagi memastikan keselesaan masyarakat Kuantan untuk bersantai dan membina kehidupan sihat bersama keluarga,” katanya.

Katanya, tarikan terbaharu, Kafe Buluh Inn yang beroperasi sehingga jam 12 malam menyajikan pelbagai menu manarik.

Taman Permainan

“Sambil-sambil beriadah boleh juga menikmati juadah menu-menu yang menarik sambil menikmati angin tasik yang syahdu, diterangi cahaya-cahaya lampu yang romantik.

“Aktiviti senamrobik Komuniti Taman Bandar juga diadakan pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula jam 7.30 pagi di perkarangan Buluh Inn Food Court,” katanya.

Norkamawati berharap agar masyarakat memanfaatkan kemudahan yang disediakan dan menjaga kebersihan alam sekitar demi keselesaan bersama.

Fun Boat Taman Bandar

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pihak MBK menyediakan papan tanda peringatan agar menjaga kebersihan di sekeliling tasik selain ruang Rainbow Walk dihiasi 21 struktur besi dengan tujuh warna pelangi.

Ruang pejalan kaki berwarna pelangi menghala masuk ke taman permainan menarik perhatian dan sesuai dijadikan lokasi sesi fotografi.

Selain itu, pusat riadah itu turut menyediakan aktiviti air di sudut Fun Boat Taman Bandar Kuantan berhadapan ruang taman permainan.

Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan seperti sukan kayak, bot gergasi dan bot kayuh dengan menawarkan harga yang berpatutan.

Pondok buku PPAP

Tidak ketinggalan Pondok buku kecil Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang disediakan bagi ulat buku selain alatan senaman ringkas kepada orang ramai. – MalaysiaGazette