Bekas Menteri Pembangunan Infrasktruktur Sabah, Datuk Peter Anthony hadir ke mahkamah bagi prosiding bela diri berhubung kes rasuah yang melibatkan kontrak kerja penyelenggaran dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 09 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony hari ini menegaskan tidak pernah berjumpa dengan saksi pendakwaan ketiga, Mohd. Shukur Mohd. Din di pejabatnya sekitar Jun 2014.

Pada masa sama Peter memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau tidak mengetahui tentang surat yang dicetak oleh saksi itu di pejabatnya.

Malah katanya, dakwaan itu adalah tidak benar.

“Ini adalah pembohongan sama sekali tidak benar sama sekali,” katanya ketika prosiding pembelaan diri, hari ini.

Pada 14 Disember lalu, Mahkamah Sesyen mengarahkan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu membela diri terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu pada 2014.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membuat ketetapan itu  bagi pertuduhan berkaitan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Terdahulu, Peter, 50, didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu surat Pejabat Naib Canselor UMS dengan mendakwa universiti itu telah mengadakan kolaborasi bersama Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. (Asli Jati) milik tertuduh.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati menggunakan surat pejabat TNC UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama. – MalaysiaGazette