KUALA LUMPUR – Racing Boy (RCB), syarikat kelengkapan motosikal terkenal di Malaysia, kini menjadi penaja rasmi untuk lapan pasukan MotoGP pada Kejohanan Dunia 2022.

Selepas kehadirannya dirasai pada Ujian Musim Sejuk MotoGP Sepang baru-baru ini, RCB semalam mengumumkan ia menaja pasukan Yamaha Factory, Repsol Honda, VR46 Racing, Aprilia Racing, Gresini MotoGP, KTM Tech 3, KTM Factory dan RNF Racing.

RCB dalam kenyataan memaklumkan, tajaannya termasuk pelindung tuil brek gentian karbon, ‘paddock stands’ titanium untuk depan, belakang dan casis, rak tayar titanium dan tempat duduk motosikal. Selain lapan pasukan MotoGP itu, RCB juga bekerjasama dengan empat pasukan masing-masing dalam Moto2 dan Moto3.

Jenama itu bersedia untuk diketengahkan dalam Kejohanan Superbike Dunia 2022 kerana akan menaja MIE Honda Racing yang disertai pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah.

Selain itu, RCB juga akan menaja 11 pasukan dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia dan 14 pasukan bagi Kejohanan Motosikal Asia (ARRC). Syarikat itu juga merupakan penaja peribadi bagi bakat Malaysia Kasma Daniel Kasmayudin (dalam ARRC).

Sementara itu, Hafizh Syahrin berkata beliau gembira melihat kemajuan yang dicapai RCB setelah menyaksikan perkembangan jenama kegemarannya itu sejak 10 tahun lepas, dari awal kemunculannya dalam Cub Prix sehingga Kejohanan MotoGP Dunia.

“Di Malaysia, RCB sudah pasti yang terbaik antara yang terbaik serta bahagian dan aksesori motosikalnya adalah nombor satu di negara ini…daripada kapcai sehingga motosikal berkuasa besar.

“Aksesori seperti pelindung tuil dan penutup pelindung tangan itu sangat diperlukan. Macam kita lihat di MotoGP, perlu ada keselamatan dalam ‘handguard break’ supaya tidak ada kontak antara penunggang, jadi penunggang lebih yakin bila nak berlumba,” katanya menerusi klip video. – MalaysiaGazette