Wilfred Madius Tangau

 

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan Kerajaan Sabah untuk menyediakan kad pengenalan kepada warga asing di negeri itu menimbulkan banyak persoalan.

Ini kerana isu pengeluaran kad pengenalan sudah lama dipolitikkan termasuk ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis dua tahun lalu, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurut Ahli Parlimen Tuaran itu, pada masa ini, terdapat beberapa jenis kad yang telah dikeluarkan iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung kepada warga asing di Sabah.

Katanya, kira-kira dua tahun lalu, parti-parti yang menganggotai Kerajaan Negeri Sabah sekarang dan Kerajaan Persekutuan sendiri yang telah membantah dan menjadikan usaha Kerajaan Pusat ketika itu memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) bagi mengenal pasti kedudukan warga asing di Sabah sebagai isu pilihan raya dan politik.

Oleh itu, UPKO mahukan penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin tentang jenis kad yang hendak digunakan sebagai "kad pengenalan atau dokumen seumpamanya".

”Menteri Dalam Negeri mesti menjelaskan sama ada objektif dan cara kerja kad pengenalan tersebut adalah sama seperti yang dicadangkan oleh Kerajaan Pusat, iaitu PSS ketika itu? Jika cadangan dan syor itu datang daripada agensi kerajaan yang sama yang pernah mencadangkan PSS sebelum ini, kemungkinan besar cadangan yang sama walaupun dengan nama yang berbeza.

”Jangan bermain dengan kata-kata seperti niat kad yang baharu dicadangkan ini bukan untuk memberi dokumen pendatang tanpa izin (PTI) atau untuk memberi mereka kerakyatan kerana PSS ketika itu tidak pernah ada matlamat untuk memberikan kesan seumpama itu.

”UPKO tidak mahu tindakan mengeluarkan kad pengenalan baharu kepada pendatang membawa kepada masalah atau isu baharu di Sabah dan menyebabkan isu semasa berlarutan sehingga boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat Sabah dalam jangka masa panjang.

”Terangkan kepada kami apakah perbezaan pengenalan kad pengenalan ini berbanding PSS sebelum ini? Menarik juga mendengar pandangan semua pemimpin negeri dalam kerajaan negeri sekarang yang lantang menentang cadangan PSS oleh Kerajaan Pusat sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Madius berkata, sebenarnya terdapat empat kategori utama masalah kehadiran pendatang asing di Sabah.

Beliau mencadangkan setiap pemimpin yang bertanggungjawab dan ikhlas dari Sabah untuk memahami perbezaan empat kategori ini sebelum membuat pandangan mereka dan mempolitikkan perkara itu dengan teruk.

Empat kategori masalah pendatang asing di Sabah ialah kemasukan pendatang asing tanpa izin secara berterusan, kehadiran pelarian yang sentiasa berada di negeri ini, status Orang Tanpa Kewarganegaraan dan mereka yang memperoleh kad pengenalan melalui cara yang meragukan.

”Sekiranya tiada pemimpin kita memahami cabaran berbeza yang dikemukakan dan penyelesaian yang diperlukan untuk menyelesaikan empat kategori masalah yang berbeza ini, maka mereka tidak ada urusan untuk memberikan pandangan dengan mempolitikkan perkara itu dan mengelirukan orang ramai lagi.

”Sekiranya Kerajaan Persekutuan ikhlas dalam menyelesaikan masalah yang berlarutan ini dengan kehadiran pendatang ini di Sabah, maka mereka harus memahami dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah tersebut,” jelasnya.

Kata beliau, UPKO tidak mahu pengeluaran kad pengenalan baharu yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri menjadi alat politik untuk mengukuhkan Kerajaan Negeri Sabah hari
ini.

Sebaliknya, ia mahu kerajaan memahami secara serius empat kategori masalah pendatang asing di Sabah dan menyelesaikan setiap masalah tersebut secara menyeluruh bagi memulihkan maruah negara dan negeri Sabah yang berdaulat dan perlu tegas mencari penyelesaian untuk manfaat generasi masa depan negeri ini, ujar beliau. – MalaysiaGazette