Ahli Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) memegang plakad bantahan terhadap peningkatan kes kematian dalam tahanan ketika hadir bagi menyerahkan memorandum peningkatan kes kematian dalam tahanan pada tahun 2022 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Masyarakat Sivil menuntut agar inkues kematian tujuh tahanan polis diadakan segera mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan Tatacara Jenayah (Akta 593).

Penyelaras Koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Wing Yan Ke berkata, peningkatan mendadak kematian dalam tahanan dalam tempoh dua bulan tahun ini  amat membimbangkan.

Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Wing Yan Ke bercakap pada media mengenai peningkatan kes kematian dalam tahanan ketika hadir bagi menyerahkan memorandum peningkatan kes kematian dalam tahanan pada tahun 2022 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 FEBRUARI 2022.

Walaupun siasatan dijalankan oleh Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman terhadap ketujuh-tujuh kes berkenaan telah selesai namun inkues masih perlu diadakan supaya punca kematian dapat diselidik dan diketahui.

“Kami menyeru agar pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) bekerjasama dengan pendakwaraya dan meminta mereka menggunakan kuasa beliau di bawah Seksyen 339 Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan koroner menjalankan siasatan ke atas setiap kematian dalam tahanan.

“Kami juga menegaskan bahawa istilah ‘sebab kematian’ di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah bukan hanya tertakluk kepada sebab-sebab kematian yang didapati melalui pemeriksaan bedah siasat malah ia juga termasuk kematian berpunca daripada sebarang kecuaian, salah laku dan perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Terdahulu Yan Ke dan beberapa ahli SUARAM hari ini mewakili 50 organisasi dalam Kumpulan Masyarakat Sivil menyerahkan memorandum kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Memorandum berkenaan adalah berkaitan peningkatan kes kematian dalam tahanan pada tahun ini.

Ahli Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) memegang plakad bantahan terhadap peningkatan kes kematian dalam tahanan ketika hadir bagi menyerahkan memorandum peningkatan kes kematian dalam tahanan pada tahun 2022 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 FEBRUARI 2022.

Dalam masa yang  Yan Ke berkata, kerajaan perlu menarik balik Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dan digantikan dengan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Katanya, ini kerana IPCC RUU tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan penggeledahan dan penyitaan dalam siasatan, tidak boleh melawat lokap atau mana-mana tempat tahanan tanpa notis awal.

IPCC RUU hanya mempunyai kuasa terhad untuk mengakses dokumen dan bukti jika dianggap ‘memudaratkan negara keselamatan atau kepentingan negara’.

“Suruhanjaya itu ditakdirkan untuk gagal dalam semak dan imbang dan memelihara akauntabiliti DRM dalam melindungi hak dan kepentingan orang ramai,” tambahnya.

Dalam masa yang sama kumpulan itu turut mendesak agar badan bebas dilantik sebagai penyiasat kes-kes terbaharu kematian dalam tahanan.

Selain itu Yan Ke berkata, unit kesihatan atau pusat rawatan di dalam setiap tahanan polis juga perlu diwujudkan bagi memastikan tahanan yang memerlukan rawatan dapat menerima bantuan segera.

“Ini memenuhi tanggungjawab negara dalam memastikan kesemua tahanan dirawat dengan maruah dan kemanusiaan seperti yang ditetapkan dalam Peraturan 30 United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners yang juga dikenali sebagai Peraturan Nelson Mandela dan Prinsip 24 Body of Pinciples for the Protection of All Persons Any under Any Corm of Detention of Imprisonment,” tambahnya.

Selain memorandum, Kumpulan Masyarakat Sivil pada hari ini turut menyerahkan petisyen yang ditandatangani oleh lebih 40,000 orang awam berkenaan gesaan menghentikan kematian dalam tahanan.

Baru-baru ini Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad mengesahkan setakat ini terdapat tujuh kes kematian Orang Kena Tahan (OKT) dengan hanya satu kes melibatkan unsur jenayah.

Daripada tujuh kes yang dilaporkan itu, empat daripadanya merupakan kematian dalam lokap.

Dua lagi kes meninggal dunia di hospital manakala satu kes melibatkan kematian ketika OKT dalam perjalanan ke hospital.-MalaysiaGazette