Syarikat Kejuruteraan dan Teknologi Pertahanan Turki (STM) berminat dan mengintai peluang membekalkan Sistem dron Kargu buatannya untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

ANKARA (TURKI) – Syarikat Pertahanan Turki STM berminat dan mengintai peluang membekalkan Sistem dron Kargu buatannya untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengurus Pembangunan Perniagaan STM Fatih Ipek berkata, setakat ini, kepimpinan ATM ada menyatakan minat bagi memperoleh sistem tersebut untuk operasi kawasan sempadan negara.

Katanya, di Turki, dron itu digunakan oleh pasukan unit khas terutama bagi aktiviti risikan, pemantauan dan juga anti keganasan.

“ATM telah menyatakan minat untuk memperoleh sistem Kargu dan kami telah membuat tawaran kepada kepimpinan tertinggi ATM.

“Rundingan telah diadakan bersama kepimpinan tertinggi ATM untuk membekalkan Kargu dan masih menantikan maklum balas,” katanya semasa pertemuan dan sesi lawatan delegasi media Malaysia di sini semalam.

Fatih Ipek.

Tambah Ipek, sistem tersebut boleh dikendalikan untuk operasi siang dan malam serta mampu melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan peninjauan serta menjejak pengganas.

Kargu juga boleh bergerak dan beroperasi bagai kamikaze ketika membuat serangan terhadap objek mahu pun suspek pengganas yang dikesan.

Sistem dron ATM sebelum ini banyak digunakan bagi operasi pemantauan dan kawalan di sempadan negara terutama membabitkan kawasan berbukit dan hutan.

Mengulas lanjut, Ipek menyatakan pihaknya juga menawarkan pemasangan Kargu di Malaysia sekiranya negara itu serius dalam mendapatkan sistem dron berkenaan.

“Setakat ini produk berkenaan sudah ditawarkan kepada tiga pelanggan antarabangsa kami. Kami cuma mahu jawapan dari Malaysia dan jika mereka boleh sahkan minat dan bersedia secara serius ke atas produk dron taktikal Kargu ini, negara Asia Tenggara itu akan menjadi pelanggan keempat kami nanti.

“Setakat ini, sudah tiga negara antarabangsa terlibat dalam rundingan mengenai produk berkenaan,” tegasnya tanpa memperincikan butiran negara-negara berkenaan.- MalaysiaGazette