Peniaga, Jamaluddin Amran menyediakan juadah untuk dijual ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2021 di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam. foto AFIQ HAMBALI, 03 NOVEMBER 2020

BARU-baru ini, saya terbaca satu artikel oleh Menteri Kewangan mengenai apa yang bakal diwarisi oleh generasi masa depan kita. Malaysia kini menghadapi masalah ekonomi, sosial, hubungan kaum serta politik dan semuanya memang mempunyai penyelesaiannya yang tersendiri. Selain masalah-masalah ini, negara kita juga berhadapan dengan masalah yang tidak diduga seperti pandemik Covid-19. Persoalannya, bolehkah kita menghadapinya sekali lagi?

Saya bersetuju apa yang telah dizahirkan dan dirancang oleh Kementerian Kewangan, dan ia perlu diberi pengiktirafan, terutamanya usaha-usaha yang menumpukan dan mengutamakan keperluan rakyat, golongan rentan, masyarakat luar bandar, peniaga kecil dan sebagainya. Yang senang ialah mengkritik atau bercakap. Tetapi bukan mudah nak mengemudi ekonomi, apatah lagi dengan cabaran Covid-19.

Apabila kita melihat Bajet 2022 dan pelbagai inisiatif dalamnya, memang jelas ianya berjiwa rakyat. Kalau kita lihat insentif-insentif Bajet 2022, jelas bahawa rakyat dan sektor perniagaan mempunyai banyak peluang untuk memulih kehidupan mereka seperti sediakala setelah tergendala selama lebih 2 tahun. Yang penting kita bersedia untuk mengambil kesempatan yang ada.

Apa yang sama penting, janganlah kita terjerumus dan terpengaruh dengan politik golongan berkepentingan. Sebagai contoh, isu KWSP, di mana masih ada lagi yang mendesak pengeluaran RM10,000 one-off. Mereka lupa, sebelum ini pun kerajaan sudah membenarkan pengeluaran KWSP sehingga RM71,000, dan banyak juga bantuan langsung dan subsidi yang diberi oleh Kerajaan.

Saya juga menyambut baik langkah Kementerian Kewangan dalam memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal. Walaupun saya bukanlah pakar kewangan, namun apa yang disiarkan media telah memberi gambaran yang jelas mengapa Akta ini amatlah penting untuk memberi keyakinan kepada pelabur kepada prospek pemulihan negara. Ramai antara mereka mungkin sudah mula menilik pasaran lain seperti Vietnam dan Indonesia. Kita perlu bergerak cepat untuk menarik pelabur-pelabur ini.

Selain itu, tidak dinafikan, sejak penubuhan Petronas di tahun 1970an, Kerajaan banyak bergantung kepada hasil gas dan petroleum, terutamanya di waktu sukar dan getir seperti sekarang. Kemudian buat pertama kalinya sejak Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) ditubuhkan, kita juga telah gunakan RM5 bilion dana KWAN untuk membeli vaksin. Namun perlu ingat, sumber-sumber ini bukanlah tanpa had, dan untuk mengumpul semula wang yang telah dibelanja akan mengambil masa.

Justeru, Strategi Hasil Jangka Sederhana dapat mempelbagaikan pendapatan negara. Jika negara mempunyai lebih banyak saluran hasil, ekonomi akan menjadi lebih teguh dan berdaya tahan apabila berdepan dengan pelbagai musibah.

Dalam isu berhutang untuk membantu rakyat pula, saya juga mengalu-alukan kenyataan Tengku Zafrul bahawa ia patut dilakukan dengan penuh tanggungjawab. Peminjaman tidak patut dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana anak-anak dan cucu-cucu kita yang akan menanggung hutang ini kelak.

Kesemua inisiatif ini menggambarkan bahawa Malaysia berada dalam landasan tanggungjawab kewangan yang sepatutnya.

Ketelusan kerajaan ini juga penting kerana rakyat berhak mengetahui bagaimana wang mereka dibelanjakan. Adakah ia digunakan untuk membantu kroni-kroni? Soalan ini mungkin lebih mudah dijawab dengan laporan-laporan terperinci, terutamanya oleh Jawatankuasa-Jawatankuasa Khas Parlimen dan juga Jabatan Audit Negara.

Kita harus menyokong sebarang usaha dalam menjamin ketelusan dan tanggungjawab kewangan. Saya berharap semua kementerian dapat melaksanakan sifat tanggungjawab kewangan yang baik, demi generasi masa depan dan anak cucu kita.

Mohd Sulaiman Rauf
Kuantan