Ebit Lew lewd pictures messages WhatsApp sexual harassment charges
Abdul Jalil Hassan

KUALA LUMPUR – Larangan memiliki, menjual, membeli, bermain mercun serta bunga api masih lagi berkuat kuasa sempena mana-mana perayaan termasuk perayaan Chap Goh Mei yang akan disambut pada 15 Februari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, hanya bunga api jenis ‘pop-pop’ dan ‘Happy Boom’ sahaja dibenarkan kerana kedua-duanya tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.

Namun tegas beliau, penjualan kedua-dua mercun tersebut masih memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan dan mengikut spesifikasi ditetapkan.

“PDRM mengingatkan orang ramai bahawa larangan memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api masih lagi berkuat kuasa sempena mana-mana perayaan termasuk sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini dan juga perayaan Chap Goh Mei yang akan disambut pada 15 Februari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru katanya, mana-mana individu yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun selain daripada yang dibenarkan, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207), jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya

Tambahnya, bermain atau membakar mercun dan bunga api yang dilarang juga boleh dihukum penjara tidak lebih satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut peruntukan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Abd Jalil turut menasihati orang ramai supaya terus mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku. – MalaysiaGazette