Risto Vidakovic. Foto Facebook Melaka United.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Melaka United FC, Risto Vidakovic mengakui masih terlalu awal untuk menilai prestasi pemain menerusi perlawanan persahabatan pertama yang dikendalikannya apabila baru sahaja memulakan tugasnya pada minggu ini.

Jelas Vidakovic, dia masih lagi dalam fasa untuk mengenali semua pemain dalam memastikan persediaan pasukan berjalan dengan lebih lancar sebelum sepak mula saingan Liga Super pada 4 Mac depan.

Namun, berdasarkan aksi persahabatan menentang Selangor 2 pada Rabu lalu menyaksikan banyak perkara yang perlu diperbaiki di mana jurulatih berusia 53 tahun ini tidak menolak barisan pemain masih lagi menyesuaikan diri dengan beberapa perubahan taktikal daripadanya.

“Bagi saya, ia adalah normal untuk permulaan seperti ini sebab pemain perlu sedikit masa untuk sesuaikan diri dengan beberapa perkara yang perlu diubah dan tak semuanya akan lancar pada awalnya.

“Jadi, agak sukar untuk saya beri pendapat mengenai pemain-pemain ketika ini dan Rabu hanyalah perlawanan persahabatan.

“Mereka perlu teruskan usaha keras disebalik kekalahan kepada Selangor 2 dan keputusan ini tidak penting sebab yang paling utama adalah bagaimana mereka bekerja keras dalam latihan, dan ini hanyalah permulaan untuk pemain-pemain perbaiki prestasi mereka”, jelasnya.

Dalam masa sama, Vidakovic tidak menolak teruja untuk menyaksikan gandingan dua penyerang import iaitu Sony Norde dan Ifedayo Omosuyi di atas padang apabila dijangka mampu memberi impak besar di bahagian serangan pasukan.

Namun, ini tidak bermakna beliau akan lupakan sentuhan pemain-pemain lain yang akan membantu bukan sahaja di bahagian depan pasukan tetapi di posisi-posisi lain juga.

“Kami ada ramai pemain yang berpotensi besar dan untuk perlawanan persahabatan hari ini (semalam), mereka berdua (Norde dan Omosuyi) masih belum turun beraksi dan apabila mereka hadir, saya rasa mereka akan menjadi gandingan terbaik untuk pasukan.

“Mungkin dalam minggu depan kita akan saksikan mereka berdua beraksi dan untuk persediaan terakhir, saya percaya pasukan ini akan lengkap sepenuhnya dan lebih bersedia.

“Mengenai sasaran, saya sendiri ingin pemain fokus satu demi satu perlawanan terlebih dahulu dan saya harap mereka akan lebih bersedia untuk perlawanan pertama liga nanti”, tambahnya.

Terdahulu, jurulatih dari Bosnia & Herzegovina ini dilantik selaku ketua jurulatih Skuad Hang Tuah yang baharu pada musim ini bagi menggantikan Zainal Abidin Hassan.

Beliau pernah membimbing beberapa kelab sekitar Eropah dan Asia selain pernah bersama skuad kebangsaan Serbia selaku Penolong Jurulatih sekitar 2006 hingga 2007. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast