Saudara-mara dan penduduk tempatan mengusung keranda mayat seorang lelaki yang dibunuh perusuh di Khanewal. foto Getty Images

ISLAMABAD – Sekumpulan perusuh telah membunuh seorang lelaki kerana didakwa membakar halaman al-Quran Khanewal di wilayah Punjab, kata polis.

Susulan itu, lebih 80 orang telah ditahan berhubung pembunuhan tersebut.

Laporan berkata, lelaki itu berada dalam tahanan polis sebelum orang ramai menariknya.

Mayatnya telah diserahkan kepada keluarga dan pengebumian diadakan semalam.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan berkata, kes itu akan “diuruskan berdasarkan undang-undang sepenuhnya”.

Beliau turut meminta laporan mengenai pegawai polis yang dituduh gagal menjalankan tugas menyelamatkan lelaki tersebut.

Kerajaannya, kata Imran, mempunyai “toleransi sifar untuk sesiapa yang mengambil undang-undang ke tangan mereka sendiri”.

Pegawai polis, Munawar Hussain berkata, anggota polis tiba untuk menemui lelaki itu, dilaporkan berusia 40-an, tidak sedarkan diri dan dalam keadaan diikat pada sebatang pokok.

Khanewal terletak 275 kilometer (170 batu) barat daya Lahore.

“Penduduk kampung yang bersenjatakan belantan, kapak dan batang besi membunuhnya dan menggantung mayatnya pada sebatang pokok,” kata Hussain kepada agensi berita Reuters.

Munawar Gujjar, ketua balai polis di Tulamba, tempat kejadian itu berlaku memberitahu agensi berita AP bahawa mangsa telah “tidak stabil secara mental sejak 15 tahun lalu”.

Pembunuhan itu berlaku hanya lebih dua bulan selepas seorang pengurus kilang Sri Lanka dipukul hingga mati dan dibakar oleh kumpulan perusuh atas sebab yang sama di bandar Sialkot, juga di wilayah Punjab.

Undang-undang Pakistan membawa hukuman mati bagi sesiapa yang menghina Islam, tetapi pengkritik mengatakan peraturan itu telah digunakan untuk menganiaya agama minoriti dan mensasarkan minoriti secara tidak adil. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-asia-60368498)