Kawasan lapang yang dialaskan tikar di tengah ladang kelapa sawit adalah satu-satunya tempat di mana anak-anak Kampung Orang Asli Kemidak mendapat isyarat internet yang jelas untuk mengikuti kelas dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bekok, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 13 JUN 2021.

PENULARAN pandemik Covid-19 yang melanda masyarakat global khususnya masyarakat Malaysia telah menyebabkan berlaku perubahan, kepelbagaian isu dan kemerosotan dalam pelbagai sektor. Sektor pendidikan juga tidak terkecuali daripada kesan pandemik ini berikutan kewujudan kes-kes Covid-19 dalam kategori kluster pendidikan. Hal ini memaksa penutupan sekolah-sekolah dan institusi pendidikan lantas membataskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

Justeru, kerajaan telah mengeluarkan panduan alternatif kaedah pembelajaran di rumah menerusi pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia “ PdPR ialah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian” Berdasarkan manual yang dikeluarkan, PdPR boleh dilaksanakan secara dalam talian, luar talian, off-site atau gabungan mana-mana kaedah tersebut.

Isu yang timbul akibat pelaksanaan PdPR ini ialah kewujudan kelompok pelajar yang keciciran pembelajaran secara dalam talian. Walaupun terdapat pelbagai kaedah yang dinyatakan, pembelajaran secara dalam talian atau pembelajaran maya menjadi keutamaan untuk meneruskan sesi akademik di rumah dan pendidikan maya melalui platform dalam talian lebih mudah diakses tanpa mengira lokasi dan keberadaan seseorang. Namun demikian, hal ini telah menimbulkan isu dari segi pembabitan
pelajar dalam sesi PdP yang dijalankan iaitu keciciran pelajar yang berlaku disebabkan akses prasarana digital dan capaian Internet yang terbatas bahkan melangkaui kecekapan guru dalam mengendalikan sesi PdPR.

Kesannya, sesi pembelajaran terganggu dan murid tidak dapat memahami sepenuhnya kandungan mata pelajaran yang disampaikan. Prestasi akademik murid terganggu malahan menyebabkan tekanan perasaan yang menjejaskan emosi dan kesihatan mental mereka. Oleh hal yang demikian, isu ini perlu ditangani dengan proaktif melalui penelitian semula pelaksanaan PdPR dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat agar kebajikan semua pelajar terpelihara. Jika diteliti semula faktor yang menyebabkan isu keciciran pelajar dalam pelaksanaan PdPR, salah satunya adalah keterbatasan capaian Internet dan peranti elektronik.

Perubahan mendadak sistem pendidikan di Malaysia menyebabkan landskap pembelajaran berubah kepada pembelajaran maya yang memperlihatkan kepentingan rangkaian jalur lebar. Namun demikian, lokasi tempat tinggal yang berada di kawasan terpencil khususnya kawasan kampung dan pedalaman menyebabkan pelajar mengalami gangguan capaian Internet. Rangkaian mudah alih yang lemah menyebabkan segelintir pelajar tidak pernah dapat mengikuti kelas secara dalam talian sejak permulaan PdPR malahan ada dalam kalangan pelajar yang hampir dibuang kelas kerana kegagalan untuk menyertai kelas yang dijalankan oleh guru.

Faktor keciciran disebabkan masalah Internet juga boleh berlaku disebabkan kurang kemampuan untuk mebelanjakan wang bagi membeli data Internet. Pandemik yang berlaku menjejaskan pendapatan rakyat lantas menyebabkan pendapatan yang dimiliki hanya cukup untuk menyara kehidupan asas. Selain itu, ketiadaan peranti elektronik yang bersesuaian seperti komputer riba, telefon pintar atau tablet juga merencatkan penglibatan pelajar dalam sesi PdPR. Menurut kajian Kementerian Pendidikan Malaysia pada 18 April 2020 menunjukkan 36.9% pelajar tidak mempunyai peranti manakala 90% daripada pelajar tiada akses kepada peranti peribadi menyebabkan mereka terpaksa berkongsi dengan ibu bapa atau adik-beradik lain secara bergilir. Oleh hal yang demikian, akses capaian Internet dan pemilikan peranti yang terhad menyebabkan keciciran pelajar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

Selain itu, tahap kesediaan pelajar dan guru juga merupakan faktor yang menyumbang kepada isu keciciran pembelajaran sewaktu pandemik ini. Perubahan platform pendidikan secara dalam talian memerlukan ilmu dan pengetahuan baru terutama berkaitan pengendalian peranti teknologi dan aplikasi canggih dengan perisian terkini. Namun demikian, segelintir guru dan pelajar tidak dapat membiasakan diri dan gagal beradaptasi dengan teknologi. Pelajar yang kurang kemahiran untuk mengakses platform kelas dalam talian seperti Google Meet dan Zoom Meeting tidak dapat menyesuaikan diri dan sukar memahami pelajaran yang disampaikan.

Untuk itu, sekiranya isu ini dibiarkan berlarutan sepanjang tempoh PdPr ini, implikasi yang lebih serius akan berlaku khususnya kepada golongan pelajar. Kelompok pelajar tercicir ini akan hilang minat dan motivasi untuk terus belajar. Mereka tidak dapat bergerak setanding dengan pelajar yang mempunyai akses terhadap kelas yang dilaksanakan guru sehingga terpaksa mencari alternatif sendiri dengan memanfaatkan sumber sedia ada. Kekangan pergerakan untuk keluar berjumpa guru dan rakan-rakan juga menyukarkan perbincangan akademik. Hal ini meruapakan kerisauan besar bagi ibu
bapa dan guru kerana sikap pelajar terhadap pembelajaran mempengaruhi prestasi pembelajaran mereka. Tahap pengetahuan tahap pemahaman yang rendah terhadap pelajaran yang sepatutnya diperoleh melalui sesi pembelajaran dalam talian menyebabkan prestasi pelajar terjejas lantas tidak dapat mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan.

Peningkatan kadar keciciran pelajar ini juga menjejaskan imej pendidikan negara berikutan kegagalan dalam menguruskan dan mengawal keadaan dengan baik sekali gus menyebabkan kehilangan modal insan berkualiti dengan potensi cemerlang untuk memberi sumbangan kepada negara pada masa akan datang. Dengan demikian, tidak dapat dinafikan isu keciciran pelajar ini menjejaskan motivasi diri pelajar dalam pembelajaran. Implikasi lain yang dapat dilihat adalah dari segi kesihatan fizikal, emosi dan mental individu. Kesan utama yang dapat kita lihat pada pelajar sepanjang PdPR adalah menjejaskan penglihatan dan kesihatan tubuh badan. Penggunaan peranti berskrin untuk tempoh yang lama menyebabkan sakit mata dan sakit belakang ekoran penyertaan kelas dalam talian.

Tugasan yang banyak juga menjejaskan kitaran tidur pelajar menyebabkan mereka keletihan dan mudah jatuh sakit. Namun demikian, masalah yang lebih membimbangkan adalah melibatkan tekanan emosi dan kesihatan mental para pelajar yang tidak dapat dilihat secara luaran. Pandemik Covid-19 menyebabkan tekanan emosi kepada pelajar yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran baharu secara
maya khususnya golongan pelajar tercicir yang terdedah dengan pelbagai kekurangan prasarana pembelajaran. Setiap hari pelajar yang menerima maklumat dan arahan berterusan akan menerima desakan yang menjadi lebih ketara sekiranya dibebani dengan tugasan yang banyak dan persekitaran tidak kondusif.

Tekanan yang melampau menjejaskan kesihatan mental pelajar lantas menyebabkan risiko seperti kecenderungan mencedarakan dan membunuh diri. Selain itu, guru-guru juga mengalami tekanan berikutan kesukaran beradaptasi dengan kaedah pengajaran dalam talian dan kurang kemahiran mengendalikan teknologi. Bagi mengatasi isu keciciran pelajar semasa pandemik ini, kajian semula terhadap pelaksanaan
PdPR perlu dilaksanakan untuk meningkatkan standard kualiti. Penambahbaikan Manual PdPR 2.0 yang memberikan kebebasan kepada pihak sekolah untuk mengatur PdP mengikut kesesuaian merupakan langkah awal yang baik Namun demikian, manual ini sewajarnya dikemas kini dan diperincikan agar lebih sistematik dan terancang. Kaedah yang sesuai perlu ditentukan dan dipelbagaikan untuk memenuhi pelbagai keperluan pelajar.

Dengan berpaksikan pembelajaran dalam talian sebagai keutamaan, penggunaan bahan edaran dan modul juga perlu bergerak seiring bagi membantu pelajar yang berada di kawasan dengan kadar ketersampaian rendah. Kawasan-kawasan pedalaman dan terpencil perlu diberikan perhatian untuk memastikan semua pelajar mendapat akses kepada pembelajaran dan juga kemudahan yang diperlukan misalnya meluaskan jaringan Internet seperti di balai komuniti dan penyediaan komputer serta bantuan peranti elektronik untuk pelajar kurang berkemampuan.

Struktur kurikulum juga perlu dinilai semula agar lebih fleksibel untuk membolehkan
pembelajaran diteruskan walaupun berhadapan dengan situasi luar jangka seperti pandemik.Selain itu, guru-guru perlulah meningkatkan kemahiran pengajaran pedagogi dalam talian. Guru perlu menguasai kaedah dan platform pembelajaran terkini serta mencuba pelbagai pendekatan baharu untuk menjadikan PdP lebih menarik. Bagi memastikan keterlibatan pelajar dan interaksi dua hala, guru boleh menggunakan bahan bantu mengajar yang lebih interaktif misalnya penggunaan audio, video, simulasi atau visualisasi grafik bagi menyampaikan maklumat. Nota dan teks yang disediakan
perlulah padat, ringkas dan kemas agar pelajar tidak mudah bosan dan pelaksanaan yang interaktif juga mengurangkan tekanan pembalajaran.

Dari segi platform pembelajaran, selain penggunaan aplikasi perjumpaan maya seperti
Google Meet dan Microsoft Teams guru boleh membuat rakaman video dan dimuat naik ke media sosial untuk rujukan pelajar yang tidak dapat mengikuti kelas. Guru juga berperanan mengenal pasti pelajar yang keciciran agar mereka dapat dibantu dengan inisiatif lain seperti penyediaan latihan tambahan dan rujukan secara bercetak.
Tuntasnya, pandemik Covid-19 yang melanda menjadi tamparan hebat bagi warga pendidikan, menyebabkan keputusan drastik dilaksanakan dengan pendekatan PdPr.

Pendekatan ini merupakan satu alternatif yang baik namun ini menimbulkan kebimbangan ekoran peningkatan bilangan pelajar yang tercicir. Justeru, isu ini perlulah diteliti agar masalah yang berlaku boleh diatasi dengan solusi yang berkesan. Justeru, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak amatlah penting, khususnya ibu bapa yang berperanan memantau keadaan anak masing-masing dan sentiasa berkomunikasi dengan guru untuk kepentingan pembelajaran anak-anak. Dengan demikian, isu keciciran pelajar dapat dikurangkan dan peranan pendidikan dapat dipergiatkan walaupun berhadapan dengan isu luar jangkaan.

Oleh: Dr Mohd Syaubari Bin Othman
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan,
Fakulti Pembangunan Manusia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast