Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sentiasa menitikberatkan program pendidikan dalam pentadbirannya.

Ini dinyatakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, yang turut memaklumkan kerajaan negeri memperuntukan kira-kira RM78 juta setiap tahun bagi menjayakan program itu.

Kata beliau, dari peruntukan itu juga diagihkan kepada sekolah jenis persendirian Cina, selaras dengan matlamat pendidikan demi hala tuju masa depan rakyat pelbagai kaum.

“Bagi menjayakan program pendidikan ini, kita peruntukan RM78 juta setiap tahun.

“Bantuan ini diagih merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

“Bahkan, sekolah jenis persendirian Cina juga tidak terkecuali kerana pendidikan merupakan keutamaan dan penting kepada semua,” katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata, sejak 2016, setiap tahun tanpa gagal kerajaan negeri mengagihkan RM500,000 kepada sekolah persendirian Cina untuk menjamin kelangsungan pendidikan.

Menurut Amirudin, selain membantu sekolah Cina, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM24 juta bagi 405 sekolah rendah agama, 114 sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan lebih 90 SJK Tamil.

Katanya, segala proses bantuan dan bentuk sokongan kepada rakyat negeri itu diberi mengikut kepentingan dan keutamaan.

“Bantuan ini bukan untuk pilihan raya sahaja. Bukan untuk tarik simpati, tetapi ikut hala tuju.

“Kita keluarga Selangor. Kita bertindak untuk semua. Bila saya dilantik jadi Menteri Besar, pimpinan PKR nasihatkan saya supaya pastikan jadi Menteri Besar untuk semua,” katanya. – MalaysiaGazette