Gambar ihsan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM

SEREMBAN- Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao ke-17 (TPA-M17) dijangka mengatur gerak kumpulan pendahuluan ke Filipina pada 26 Mac ini bagi memantau proses perjanjian antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Indera Yazid Arshad berkata kumpulan berkenaan akan menggunakan pesawat komersial namun tertakluk kepada perolehan visa dan prosedur operasi standard (SOP) semasa kemasukan ke negara itu.

“Kami akan berusaha merancang supaya kumpulan ini dapat tiba awal di Cotabato City, Iligan City dan Zamboanga City bagi melaksanakan serah terima tugas sebelum majlis transfer of authority (TOA) yang dijadualkan pada 11 April ini.

“Bagi kumpulan induk pula akan digerakkan menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 10 April. Segala perancangan terperinci untuk pergerakan ini akan sentiasa dikemas kini,” katanya dalam kenyataan sempena majlis penutup Force Integration Training (FIT), TPA-M17 di Port Dickson hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kesemua anggota TPA-M17 untuk sentiasa dilihat sebagai sebuah organisasi yang tidak menyebelahi mana-mana pihak dan bersikap adil kepada kedua-dua pihak yang bertelingkah meskipun melalui situasi yang sukar.

“Filipina dijangka mengadakan pilihan raya umum pada tahun ini, maka bersedialah untuk menghadapi sebarang kemungkinan kelak. Apabila emosi berjaya menguasai diri, kita mungkin tidak lagi akan bersikap adil dan cenderung kepada satu-satu pihak sahaja, jadilah seorang yang natural,” katanya.

Beliau yang melahirkan penghargaan kepada anggota TPA-M17 turut menasihati mereka supaya menggalas amanah dengan sebaik mungkin ketika berada di negara berkenaan demi menjaga nama baik Malaysia.

“Pemilihan anda merupakan rentetan pengiktirafan oleh kerajaan Filipina terhadap kemampuan Malaysia dalam menerajui proses damai di Mindanao sejak sekian lama, sudah semestinya kejayaan kita dalam misi ini sentiasa menjadi perhatian dunia,” katanya.

TPA-M17 menggantikan TPA-M16 yang bertugas selama setahun di Mindano dan disertai 15 pegawai termasuk daripada TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta diketuai Panglima 3 Divisyen ATM Mejar Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Penglibatan Malaysia mengetuai Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao (TPA-M) bermula pada 10 Okt 2004 berikutan jemputan daripada kerajaan Filipina dan MILF bagi memenuhi hasrat Filipina untuk memantau gencatan senjata antara kedua-duanya.- BERNAMA