Polis IPD Cheras dengan kerjasama TNB memotong bekalan elektrik premis haram yang terlibat dalam judi haram menerusi Op Dadu di Taman Maluri Cheras pagi Selasa.

KUALA LUMPUR – Polis menggempur 22 buah premis perjudian dan menahan 25 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti itu dalam Operasi Dadu yang dijalankan 1 Januari lalu hingga 14 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, sebanyak 21 premis diambil tindakan pemotongan elektrik di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pada pagi ini, polis IPD Cheras dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu premis judi haram itu dan menanggalkan meter dan fius setiap premis yang diambil tindakan,” kata beliau kepada pemberita hari ini.

Polis IPD Cheras dengan kerjasama TNB memotong bekalan elektrik premis haram yang terlibat dalam judi haram menerusi Op Dadu di Taman Maluri Cheras pagi Selasa.

Sementara itu, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menjalankan Op Dadu di Jalan Jejaka, Taman Maluri, Cheras pada pagi ini bersama kakitangan TNB.

Tambah beliau, sepanjang Op Dadu itu dilaksanakan, pihaknya merampas empat buah tablet, 12 buah telefon bimbit, 100 buah komputer dan wang tunai berjumlah RM1,626.

“Kini kesemua kes yang dicekup sedang disiasat polis di bawah Seksyen 4(1)(a), (4)(1)(c) dan 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Justeru, selain penguatkuasaan secara berterusan dilaksanakan bagi mencegah kegiatan judi haram di daerah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menagih kerjasama dan bantuan penuh masyarakat setempat yang mempunyai maklumat judi haram dalam usaha membanteras kegiatan tersebut secara holistik,” ujarnya. – MalaysiaGazette