KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas atlet lontar tukul besi negara, Semret Singh yang meninggal dunia hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih serta pilu ini.
“Seri Paduka Baginda amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan lontar tukul besi negara,” demikian menurut catatan itu.
Semasa zaman kegemilangannya, Semret pernah memenangi dua pingat emas di kejohanan Sukan SEA pada 1985 di Bangkok dan 1989 di Kuala Lumpur selain pernah memecahkan rekod kebangsaan pada 1981 dengan lontaran sejauh 50.5 meter di Perth, Australia.
Bapa kepada mendiang Semret, Ghenda Singh juga merupakan bekas atlet lontar tukul besi negara satu ketika dahulu.
Semret, 66, meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi di kediamannya di Sungai Buloh. – MalaysiaGazette