Ronald Kiandee menyaksikan majlis pelancaran penubuhan CDERT FAMA di Port Dickson.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mensasarkan keanggotaan 1,000 kakitangan untuk menganggotai pasukan sokongan tindak balas kecemasan (CDERT) FAMA pada awal tahun depan.

Susulan itu, FAMA akan meneruskan kursus CDERT yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan terhadap bencana khususnya dalam kalangan kakitangannya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, selaras dengan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana Tahun 2015-2030 yang disepakati oleh 187 negara, menekankan bahawa pengurangan risiko bencana merupakan tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama dengan semua pihak berkepentingan, membudayakan latihan secara bersepadu, terencana dan berkesinambungan.

Ronald berkata, usaha MAFI melalui FAMA dalam melaksanakan CDERT bertepatan dan seiring dengan semangat Keluarga Malaysia yang dapat dilihat tugas serta tanggungjawab dalam menghadapi bencana tidak hanya terletak kepada pasukan penguatkuasa semata-mata.

FAMA juga telah diperuntukan dana sebanyak RM30 juta di bawah peruntukan Program Rangsangan Ekonomi (PRE) bagi melengkapkan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan FAMA di seluruh negara.

Kelengkapan seperti kemudahan ruang penyimpanan bagi hasil pertanian segar dan proses, kemudahan bilik sejuk dan kenderaan FAMA telah berjaya memantapkan lagi usaha kerajaan dalam menjamin bekalan makanan negara.

FAMA turut dilantik dan diberi tanggunggjawab sebagai penyedia kit makanan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk disalurkan ke seluruh negara apabila berlaku sesuatu bencana.

”Atas dasar ini, kakitangan FAMA perlu dilatih dan diberikan kemahiran untuk membantu jabatan dan agensi berkuasa awam berkaitan dalam menyalurkan bantuan dan memberikan pertolongan kecemasan kepada kumpulan sasar yang terlibat.

”Latihan ini juga merupakan salah satu elemen yang dapat meningkatkan mutu penyampaian peranan FAMA sebagai agensi pelaksana dalam pemantapan jaminan bekalan makanan semasa krisis dan bencana,” kata Ronald.

Secara keseluruhan seramai 241 orang kakitangan FAMA telah menganggotai CDERT FAMA setakat ini. – MalaysiaGazette