Abdul Ghani Salleh

TARIKH Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah diputuskan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapkan 26 Februari ini hari penamaan calon, 8 Mac hari mengundi awal dan 12 Mac 2022 hari pengundian.

Semua parti politik sudah siap siaga dan akan meletakkan calon masing-masing untuk bertanding. UMNO, MIC, MCA dengan Barisan Nasional (BN) nya; Bersatu dan Pas dengan Perikatan Nasional (PN) nya; PKR, Amanah, DAP dan Muda dengan Pakatan Harapan (PH) nya.

Setakat ini hanya parti Pejuang yang menyatakan mahu bertanding solo, tak mahu terikat dengan mana-mana parti atau tak akan menyertai mana-mana gabungan politik.

Bawah Kolong (BK) melihat, kedudukan BN paling bersemangat ketika ini. Berkobar-kobar. Kalau boleh hari ini nak diadakan hari mengundi. Ini berbeza dengan PN, PH dan Pejuang. Penangan PRN Melaka menyebabkan mereka dalam trauma. Rungsing kalau-kalau pisang berbuah dua kali.

Selain itu, dalam sehari dua ini juga berlaku kekucaran (kemelut) dalam gabungan PN dan PH.

Perang bendera parti mula memeriahkan kempen PRN Johor.

Dalam PN dikhabarkan ada beberapa pemimpinnya yang sebelum ini elok-elok duduk dalam UMNO, makan minum, tidur bangun dalam UMNO tiba-tiba lompat ke Bersatu, dan kini dikatakan akan lompat galah semula nak masuk UMNO.

UMNO kena fikir banyak kali kalau nak ambil semula orang ini. Jangan fikir nak ambil hati orang itu, UMNO kena fikir perasaan ahli dan pemimpin akar umbi yang setia dan rebah bangun ketika UMNO senang dan susah.

Orang seperti itu hanya fikir kesenangan dan kepentingan sahaja. Bila parti lemah, lompat ke parti yang dirasakan kuat. Namun, apabila parti yang dirasakan kuat itu lemah, nak lompat semula ke parti asal. Ini tak betul. Pemimpin UMNO kena waras dalam hal ini.

Nak ambil, boleh, tapi kena kenakan syarat. Syaratnya, mesti jadi ahli biasa. Tak boleh bertanding sebarang jawatan dalam parti mahupun pilihan raya. Jadilah ahli sampai mereput. Itu sebahagian daripada luahan amarah akar umbi yang sampai ke telinga BK.

Selain PN yang berkemelut, dalam PH pun sama. Selama ini, PKR, DAP dan Amanah hidup aman damai. Bahagi kerusi untuk bertanding pun capai kata sepakat. Tetapi, sebaik diterima masuk Parti Muda, berlaku pergaduhan.

Walaupun pergaduhan itu dikatakan sekadar kekucahan (kocak) air dalam cawan, tetapi Muda sudah tunjuk besar kepala. Tak sampai setahun jagung pijak bumi, dah minta macam-macam. Antaranya nak bertanding di banyak kerusi.

Sebagai abang sulung dalam PH, PKR hanya tetapkan tiga kerusi sahaja kepada Muda. Ini timbulkan rasa tidak puas hati Muda. Mereka berbincang pula dengan abang nombor dua (DAP) dan abang nombor tiga (Amanah).

Dua abang ini pula tanpa penglibatan abang sulung membuat persetujuan tambah tiga lagi, menjadikan enam kerusi untuk adik bongsunya, termasuk satu kerusi tradisi PKR, DUN Puteri Wangsa.

Bila keputusan ini dibuat, mengamuk sakan beberapa pemimpin PKR. Marah-marahkan Muda dan ada yang desak supaya Muda serahkan semula kerusi Puteri Wangsa kepada PKR.

Seorang pemimpin PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid secara sinis dan sindir membuat ciapan dalam Twitternya. Ciapan itu ditujukan khusus kepada pimpinan Muda.

Beliau buat ciapan, “Hendak berkawan ada resminya. Hendak berunding ada budinya. Hendak beradu ada tempatnya.

“Semangat itu harus dipuji. Kita pernah jadi orang muda dan pengalaman mendewasakan kita.

Pada fahaman BK, ciapan itu memberi makna, kalau Muda nak sertai PH, buat cara nak sertai, bukan diterima masuk, terus tunjuk besar kepala, nak itu, nak ini. Melebih lebih daripada abang-abang lain.

Apapun, BK tidak mahu mendahului kerja Allah Taala dalam bab keputusan pada malam 12 Mac nanti. Semuanya sudah tercatat di Luh Mahfuz. – MalaysiaGazette