Dolla dianggotai oleh Sabrina, Tabby, Syasya dan Angel.

KUALA LUMPUR – Kumpulan wanita tempatan yang semakin popular, Dolla terus mengorak langkah dalam industri muzik tempatan dengan pengenalan lagu terbaharu mereka yang berjudul Bad.

Karya yang diterbitkan oleh pemuzik Sweden, Ludwig Lindell serta Karl-Oskar “Cage” ini juga ditulis dan dicipta dalam Bahasa Malaysia serta Inggeris oleh Ludwig Lindell, Karl-Oskar “Cage”, Gummesson dan bintang hip hop tempatan, Yonnyboii.

Apa yang menariknya, selepas sejam dilancarkan, Bad berjaya meraih 100,000 tontonan di YouTube dan juga berjaya menduduki tangga pertama dalam trending di YouTube 24 jam selepas Tayangan Perdana.

Salah seorang anggota kumpulan Dolla, Syasya berkata, seperti lagu-lagu mereka sebelum ini, lagu Bad juga mempertaruhkan tema pemerkasaan wanita.

“Ada yang mungkin akan menganggapnya sebagai lagu patah hati selepas tidak dilayan dengan baik oleh pasangan masing-masing dan ada juga yang mungkin menujukan lagu ini pada pasangan atau teman yang tidak pernah memberikan sokongan positif malah meragui diri masing-masing.

“Terdapat bait lirik lagu ini yang berbunyi You never met a woman just like me, you’ll see, kau takkan pernah agak, yang boleh diinterpretasikan dengan pelbagai cara,” ujarnya.

Jelasnya, secara intinya Bad berkisar tentang seseorang yang telah dikecewakan berkali-kali dan akhirnya tidak mahu lagi menerima kepahitan itu hingga memilih untuk menyerlahkan sisi gelap mereka yang berbeza.

“Secara peribadi saya rasa Bad merupakan titik perubahan buat Dolla. Jika lagu kami sebelum ini menunjukkan sisi kami yang lebih lembut, Bad pula mencerminkan Dolla yang sudah matang dan siap untuk menghadapi dunia,” jelasnya.

Seperti karya-karya mereka sebelum ini, Bad juga menampilkan sebuah video muzik yang hebat.

“Walaupun memakan masa dua hari untuk disiapkan, ia satu usaha yang berbaloi. Dengan seni tari hebat bersama para penari kami serta banyak tangkapan visual yang menarik, video ini benar-benar menunjukkan tenaga positif yang dihasilkan sepanjang penggambaran,” kata Sabronzo mewakili Dolla.

Selain pengorbanan waktu yang diperlukan untuk rakaman video muzik, Bad juga ada cabaran lain buat Dolla.

“Kami terpaksa melakukan banyak sesi latihan untuk mendapatkan keseimbangan vokal dan tarian. Nasib baik Cikgu Shafi dan Ezra banyak membantu untuk menonjolkan yang terbaik dari kami. Malah, kami agak bangga dengan hasil selepas memberikan sedaya-upaya kami,” ujar Tabby pula.

“Saya harap semua orang akan menyukai kemunculan lagu ini setelah kami berehat seketika. Kami sudah mempersiapkan lagu ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi. Setelah penat berusaha, kami harap para peminat akan menyukai persona terbaharu Dolla ini,” tutup Angel tentang karya ini.

Bad sudah tersedia di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sementara video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Vevo Dolla. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast