Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Pemulihan ekonomi Indonesia adalah kerana ia mempunyai kerajaan yang stabil dan kuat sehingga membolehkan negara jiran itu membuat keputusan besar dan kritikal dengan berkesan dan lancar.

Disebabkan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO turut menitikberatkan kestabilan politik.

Menurutnya, kestabilan tidak mungkin dapat dicapai sekiranya kerajaan yang memerintah sentiasa menerima ugutan daripada parti lawan.

“Seperti di Johor sebelum ini, 28 ADUN Kerajaan, 27 ADUN Pembangkang dan satu speaker dewan dari blok pembangkang. Ini adalah satu kedudukan yang sangat rapuh, malah boleh dianggap hung assembly.

“Malah, jika kita rujuk kepada kenyataan dan pandangan Tengku Mahkota Johor baru-baru ini, zaman Pakatan Harapan (PH) menyaksikan kejatuhan nilai pelaburan yang signifikan kepada negeri Johor berbanding prestasi pada 2016, 2017 dan 2018.

“Kita sangat sedar bahawa pelaburan bergantung dan dipengaruhi oleh kestabilan politik,” katanya.

Ahmad Zahid mengulas mengenai perkongsian Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno di Instagramnya baru-baru ini.

Sandiaga Salahuddin berkongsi petikan berita bertajuk ‘Bye-Bye Malaysia-Thailand, Ekonomi RI Sudah Pulih Duluan’ dari Detik Finance bertarikh 10 Februari 2022.

Berita tersebut memaparkan berita bahawa Indonesia sudah keluar dari belenggu kelembapan ekonomi dan berada dalam jajaran kedudukan sebelum pandemik.

Keadaan itu meletakkan Indonesia sebagai negara Asia Tenggara yang menyusul Singapura, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat dan beberapa ekonomi maju yang lain dalam pemulihan ekonomi.

Serentak itu Ahmad Zahid mendesak Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencari idea besar untuk membawa Malaysia keluar daripada kelembapan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

“Dalam hal ini, mereka yang menggalas tanggungjawab untuk mengepalai Majlis Pemulihan Negara (MPN) wajib melihat semua ini sebagai satu keperluan mendesak.

“Carilah idea besar untuk membawa keluar negara kita dari belenggu ekonomi dan trauma pandemik. Berhentilah menyalahkan semua pihak, khususnya UMNO.

“Setakat ini, Pengerusi MPN belum pun memutuskan atau membentangkan apa-apa pelan besar untuk membawa Malaysia keluar dari pandemik dan belenggu ekonomi,” katanya.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyartakan Indonesia bakal merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (nominal) ke-16 terbesar dunia berjumlah AS$1.075 trilion setakat 2018.

Jumlah tersebut dijangkakan mencecah AS$1.549 trilion menjelang 2023.

Indonesia juga mencatatkan ‘GDP by purchasing power parity’ ketujuh terbesar dunia dengan jumlah AS$3.492 trilion setakat 2018.

Kedudukan Indonesia dijangkakan naik ke tangga keempat tertinggi pada tahun 2050 iaitu sebanyak AS$12.2 trilion selepas China, India dan Amerika Syarikat.

Indonesia juga kini adalah sebahagian daripada kumpulan yang berpengaruh termasuk CIVETS iaitu antara enam buah negara dengan pasaran pesat membangun susulan kerencaman dan kedinamikan ekonomi dan mempunyai populasi muda yang semakin berkembang.

Negara yang diiktiraf termasuk Columbia, Vietnam, Mesir, Turki dan Afrika Selatan.

Indonesia turut diiktiraf sebagai Emerging 7 iaitu kumpulan tujuh ekonomi terbesar dunia yang sedang membangun yang boleh disamakan dengan G7.

Kumpulan itu turut merangkumi negara China, India, Brazil, Mexico, Turki dan Rusia. – MalaysiaGazette