Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa individu yang belum divaksin terutamanya warga emas dan yang mempunyai komorbiditi supaya tidak memperjudikan nyawa mereka.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), memantau secara berterusan risiko keselamatan semua produk vaksin berdaftar yang digunakan di negara ini.

Ini termasuk vaksin Covid-19 yang dipantau melalui pemantauan laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI).

Menurut Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Dr. Roshayati Mohamad Sani, sejak bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dari 24 Februari 2021 hingga 11 Februari lalu, sejumlah 64,697,715 dos vaksin telah diberikan.

Kata beliau, vaksin itu daripada jenama Comirnaty (Pfizer), CoronaVac (Sinovac), AstraZeneca (AZ), Convidecia (CanSino) dan Covilo (Sinopharm).

Secara keseluruhannya, Sistem Pelaporan AEFI NPRA telah menerima 24,990 laporan AEFI termasuk 1,104 laporan melibatkan dos penggalak vaksin Covid-19 dan lapan laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun.

“Kadar pelaporan AEFI melalui Sistem AEFI NPRA ini secara keseluruhannya direkodkan pada 386 laporan bagi setiap sejuta dos vaksin dan majoriti atau 93 peratus daripada AEFI yang dilaporkan adalah tidak serius.

“Daripada jumlah keseluruhan ini, terdapat 1,747 laporan yang dikategorikan sebagai AEFI serius iaitu bersamaan kadar 27 laporan bagi setiap sejuta dos.

Dr. Roshayati Mohamad Sani

“Demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan merupakan antara kesan advers yang paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin. Namun, kesan ini biasanya akan pulih dalam masa satu hingga dua hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai laporan AEFI dalam kalangan penerima dos penggalak atau booster, Dr. Roshayati berkata, ia dimulakan pada 13 Oktober lalu dan pelaporannya dijalankan NORA semasa PICK Penggalak (PICK-B).

Katanya, sehingga 11 Februari lalu, sebanyak 13,000,984 dos penggalak telah diberikan.

“Pelaporan AEFI di kalangan penerima dos penggalak direkodkan sebanyak 1,104 bersamaan kadar 85 laporan bagi setiap sejuta dos, malah lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI iaitu 386 bagi setiap sejuta dos.

“Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak pula, hanya 80 laporan diklasifikasikan sebagai serius iaitu bersamaan kadar enam laporan setiap sejuta dos,” katanya.

Jelas beliau, daripada pemantauan laporan AEFI diterima oleh NPRA setakat ini, trend dan kadar yang melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer.

Malah, trend pelaporan yang sama juga turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin Covid-19.

Mengenai PICKids, Dr. Roshayati berkata, sehingga 11 Februari lalu, sejumlah 79,393 dos vaksin telah diberikan bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun.

Setakat ini, hanya lapan laporan kesan advers non-serious telah diterima iaitu bersamaan kadar 0.1 laporan bagi setiap 1,000 dos.

Katanya, reaksi pada kulit, muntah dan sakit pada bahagian abdomen antara kesan advers yang telah dilaporkan. – MalaysiaGazette