Superintendan Kamarulzaman Jusoh

KUANTAN – Seorang kakitangan syarikat insurans maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan lalu bertembung dengan kenderaan lain di Jalan Kuantan-Maran dalam kejadian malam tadi .

Mangsa Mohd Ridzuan Robert Abdullah, 53 tahun, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Jaya Gading ke arah Jalan Kuantan-Maran.

Ketika tiba di kawasan kejadian kereta dipandu lelaki ini  hilang kawalan lalu melanggar Myvi dipandu oleh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  yang datang dari arah bertentangan.

Kejadian berlaku depan Balai Polis Jaya Gading.

Mangsa telah dikejarkan ke HTAA untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan kepala pada jam 8.22 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian mangsa yang gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan nahas,” katanya dalam  kenyataan di sini.

Kemalangan itu menyebabkan bahagian depan kereta BMW mangsa mengalami kerosakan  manakala Perodua Myvi rosak pada bahagian bumper depan serta kemek bahagian bonet.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette