Azri Ahmad

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati punca kematian secara mengejut seorang tahanan yang dirujuk ke Hospital Selayang selepas mengalami masalah sesak nafas 14 Februari lalu adalah disebabkan oleh penyakit jantung kronik atau Coronary Artery Disease.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Komisioner Datuk Azri Ahmad berkata, proses bedah siasat ke atas Orang Kena Tahan (OKT) lelaki berusia 39 tahun itu telah dijalankan di Hospital Kuala Lumpur.

“Bagi kes kematian mengejut dalam tahanan pada 14 Februari 2022, postmortem telah dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada hari ini dan punca kematian adalah coronary artery disease.

“Malah, kematian OKT itu kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Bagaimanapun, tambah beliau, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada segi pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Semalam, Azri menerusi kenyataan mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan terhadap kematian mengejut OKT itu.

Katanya, lelaki itu ditangkap jam 4.45 petang Isnin berkaitan kes dadah untuk disiasat di bawah Seksyen Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mempunyai satu rekod dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang kena tahan (OKT) itu kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk tindakan lanjut sebelum dia mengadu sesak nafas sekitar jam 5.30 petang,” ujarnya. – MalaysiaGazette