Azri Ahmad

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia telah memulakan siasatan terhadap insiden seorang Orang Kena Tahan (OKT) yang mati secara mengejut ketika berada dalam tahanan semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Komisioner Datuk Azri Ahmad berkata, pada jam 4.45 petang semalam, seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun telah ditahan polis untuk disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, siastan mendapati suspek mempunyai satu rekod masih dikehendaki (wanted) mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“OKT tersebut telah dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selangor untuk tindakan selanjutnya.

“Namun pada hari yang sama jam 5.30 petang, OKT terbabit telah mengadu sesak nafas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pasukan polis telah menghubungi pihak hospital untuk membawa OKT itu ke Hospital Selayang, Selangor untuk mendapatkan rawatan.

Namun, menurut Azri, pada jam 6.30 petang, OKT tersebut disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital tersebut.

“Punca kematian OKT itu masih belum diperolehi dari pihak hospital.

“Rentetan itu, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette