Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta untuk membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) selepas pembayaran dividen 2021 dilakukan tidak lama lagi.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri NajibĀ  Razak percaya Kerajaan akan membenarkan pengeluaran i-Citra kepada pencarum yang terjejas jika mendapat sokongan banyak pihak termasuk Ketua Pemuda Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari.

“Pada pendapat saya, masa yang paling tepat bagi kerajaan membenarkan pengeluaran khas kali terakhir i-Citra bagi ahli yang terjejas ialah selepas dividen 2021 KWSP dibayar kepada pencarum tidak lama lagi dan sebelum hari raya.

“Dengan sokongan yang diumum Ketua Pemuda PN/Pas semalam, saya lebih optimis bahawa menteri-menteri PN akan akhirnya tidak lagi membantah tetapi akan menyokong permintaan pengeluaran khas ini dan ia akan menjadi realiti.

“Harap ketua pemuda PN/Pas seorang ini akan berusaha untuk memujuk presiden PPBM dan Pas serta menteri-menteri PN bagi memberi sokongan,” kata Najib.

Sebelum ini beberapa ahli ekonomi menjangkakan KWSP akan mengumumkan dividen lebih menarik bagi 2021 iaitu sekitar 5.2 peratus hingga enam peratus.

Ia didorong oleh peningkatan pendapatan pelaburan kasar dana berkenaan selain prestasi pasaran modal yang positif.

Najib turut memberi pandangan yang sama bahawa prestasi KWSP bagi tahun 2021 adalah lebih baik.

Ini kerana pelaburan luar negara KWSP terutama di Amerika Syarikat mendapat pulangan yang sangat baik.

“Walaupun ianya masih rendah berbanding kadar 6.9 peratus bagi dividen tahun 2017 sebelum ekonomi merudum selepas PRU-14 ramalan dividen antara 5.2 peratus hingga 6 peratus bagi tahun lepas masih pada kadar yang baik.

“Dulu, ramai juga yang kecam saya kenapa saya pernah keluarkan kenyataan bahawa saya mahu KWSP melabur di Amerika dan bukan hanya di Malaysia ketika saya melawat presiden Amerika Syarikat,” kata Najib.

Pada 2020, dana persaraan itu mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.2 peratus yang membabitkan agihan sebanyak RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional dan 4.9 peratus bagi Simpanan Syariah yang berjumlah RM4.76 bilion.

Ramai rakyat Malaysia ketika ini menuntut pengeluaran wang caruman KWSP RM10,000 secara one-off akibat desakan ekonomi.– MalaysiaGazette