Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai menunjukkan gambar komponen kereta Proton Wira yang dirampas ketika operasi selepas selesai mengadakan lawatan mesra sempena Tahun Baru Cina di Pasar Pagi Taman Kok Doh Segambut, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket curi kereta Wira dengan tertangkapnya sembilan individu menerusi serbuan berasingan sekitar Lembah Klang bermula 9 Februari sehingga kelmarin.

Tangkapan itu dibuat hasil Op Lejang Wira yang dijalankan sepasukan anggota dari Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan menahan lapan lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 24 hingga 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, susulan dari tangkapan yang dilakukan, sebanyak empat buah Proton Wira dengan anggaran nilai RM24,000 berjaya dirampas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 FEBRUARI 2022.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas sembilan buah telefon bimbit, tiga anak kunci, spanar T yang dibuah suai, tiga batang allen key serta sebatang spanar saiz 10 yang disyaki digunakan untuk mencuri kenderaan.

“Hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan didalangi oleh dua lelaki tempatan yang menyasarkan Proton Wira.

“Suspek bertindak mencuri dan meleraikan komponen kenderaan tersebut untuk dijual kepada individu yang berminat serta pemilik kedai alat ganti kenderaan yang dikenali di sekitar Gombak, manakala komponen seperti bateri pula dijual di kedai barangan lusuh,” katanya menerusi sidang media selepas mengadakan lawatan mesra di pasar pagi Taman Kok Doh, Segambut hari ini.

Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek utama yang berusia 33 tahun itu aktif melakukan kegiatan tersebut sejak 2007 selain merupakan bekas tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Jelas beliau, modus operandi yang digunakan sindiket adalah mencuri kenderaan menggunakan allen key bagi membuka pintu serta suis.

“Kereta yang dicuri itu kemudiannya akan disorok di merata tempat seperti ladang kelapa sawit atau di lorong-lorong pusat perniagaan selain ada yang ditukar nombor pendaftaran.

“Suspek utama akan meleraikan komponen kenderaan dan menjualnya kepada rakan yang dikenali manakala pemilik bengkel berusia 38 tahun itu pula menjual komponen tersebut menggunakan platform media sosial,” ujarnya.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati kesemua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau.

Katanya lagi, enam suspek masih ditahan reman sejak 10 Februari sehingga hari ini manakala dua lagi suspek diberikan jaminan dan dijadikan saksi polis.

Seorang suspek pula telah dituduh semalam di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberikan keterangan, ujarnya.

Eng Lai berkata, susulan dari operasi yang dijalankan, pihaknya berjaya menyelesaikan lima kes kecurian kenderaan membabitkan empat di ibu negara dan satu kes di Selangor.

“Orang ramai dinasihati supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast