Syahadan mengisahkan tentang remaja bernama Omar yang hidup tanpa matlamat yang sebenar. Ayahnya terpaksa menghantar Omar ke kampung untuk dibaiki akhlak supaya menjadi insan yang berguna melalui kaedah persilatan.

Selari dengan tajuk Syahadan-kata klasik yang membawa maksud mukadimah, Pengarah Datuk Dr. Fairus Husssain dan Halim Hassan cuba menyuntik semula seni silat dalam industri perfileman negara.

Keunikan gerak, buah, tari dan pelbagai elemen dipadankan dengan jalan cerita bersama sentuhan sinematografi.

Apa yang menarik dalam babak aksi yang dipamerkan ia benar-benar dilakonkan oleh mereka yang menguasai seni itu bukannya ‘stand in’ atau pelakon lagak ngeri.

Kunci cerita bermula dalam babak, Pak Daud (Anuar Rahman) menceritakan kepada pendokong watak utama, Omar (Muhammad Al Jufferi Jamari) mengenai pengenalan falsafah seni silat dalam membentuk siasah insaniah.

Di sini perkara pokok yang ingin disampaikan, silat seperti mana seni pertahanan diri yang lain, ia mampu menjadi salah satu elemen untuk mengubah remaja yang bermasalah menjadi lebih baik dan berkualiti kepada kedua ibu bapa, masyarakat serta negara.

Kekuatan itu ada dalam filem Syahadan.

Namun di sebalik usaha mengangkat semula seni silat yang “tulen” ke dalam industri perfilemen, babak-babak awal jalan cerita terlalu longgar dan lemah seperti scene Omar bermain PSI dan menerima panggilan telefon untuk menyambut hari lahir.

Begitu juga scene dia mengusik awek Boy Gombak, sehingga ditumbuk dan jatuh, nampak begitu kaku.

Gimik untuk membuat penonton gelak besar tidak sampai…

Namun, kelemahan ini boleh diterima kerana semua yang terbabit hampir semuanya adalah pelakon baharu dan Al Jufferi sendiri sendiripun pertama kali beraksi sekaligus menggalas watak utama.

Cuma sebagai pendokong yang menjadi tonggak, penerampilan Omar khususnya dalam konteks imaginasi dan monolog perlu diperkemas walaupun watak yang dibawanya lebih kepada santai dan bersahaja.

Dia sendiri mengakui sebagai orang baharu yang tiada pengalaman, menjadi pelakon dengan terus membawa watak utama satu cabaran besar!

Menurut Al Jufferi, dia mengambil masa seminggu untuk berlatih di hadapan cermin. Bayangkan kalau digarap betul-betul dengan masa yang secukupnya, watak Omar yang dibawanya mampu menjadi lebih ‘hidup’.

Dalam konteks persembahan aksi memang tidak dapat dinafikan, pihak produksi telah memilih calon yang tepat kerana dia mempunyai nama besar dalam dunia persilatan tanah air, muda, tiada kontroversi dan bagi sesiapa yang pertama kali melihat poster akan terkeliru antara Al Jufferi dengan hero Gila-Gila Remaja, Faizal Husein, pelakon yang juga dikenali dengan watak aksi dalam filem.

Meskipun menggunakan populariti juara tiga kali silat dunia yang digabungkan dengan seorang lagi senior yang membuat ‘come back’ selepas lebih 20 tahun mendiamkan diri iaitu Anuar Rahman serta hampir semua watak pembantu oleh mereka yang mempunyai latar belakang silat, satu kekurangan yang ketara ketika aksi dibawa ke layar filem.

Ia sama sekali tidak diselitkan dengan instrumen yang sebati dengan dengan seni pertahanan itu, iaitu lagu serunai atau gendang silat.

Bayang, dalam keadaan panggung yang gelap dan mukadimah filem Syahadan dimulai dengan lagu yang ‘bersemangat’, ia mampu menaikkan bulu roma atau rasa ‘raa’.

Begitu juga dalam aksi-aksi yang dipaparkan terutama ketika pertama kali Omar melihat Pak Daud berdepan dengan gangster di kedai makan, ia lebih berkesan jika dibelakangi instrumen musik ini.

Satu lagi yang paling ketara adalah dari sudut pengawalan dialog Pak Daud yang berada di utara tanah air yang bercampur aduk dengan slanga selatan termasuk sebutan air, yang mana sepatutnya ‘ayaq’.

Apapun, filem yang diterbitkan dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang mempunyai keahlian 4.4 juta orang di seluruh negara perlu dibangga kerana ia satu usaha memertabat seni silat tanpa mengira ideologi politik serta bangsa.

Mungkin ada yang sinis dengan hasil tayangan filem ini, namun pastinya ketika keputusan diambil untuk menghasilkannya, mereka yang terbabit telah lama menyedari perkara itu.

Pulangan komersil bukan matlamat utama.

Sejajar dengan tajuknya, Syahadan, ia satu usaha permulaan bagi memertabat seni warisan bangsa untuk terus hidup di sepanjang zaman.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast