KUALA LUMPUR – ‘Saya sudah bersiap sedia sebab saya tahu kalah kena maki, kalau menang pun kena maki’.
Itu reaksi Ali Puteh, 34, atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan selepas keputusan kes saman fitnah kakak iparnya, Siti Nor Hidayah Mohd Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya, dua tahun.
Bagaimanapun pelawak itu berkata, beliau menghormati serta menerima dengan hati terbuka keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah dan akan memfailkan rayuan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.
“Kita hormati keputusan hari ini dan saya sebenarnya sudah bersiap sedia dengan keputusan itu.
“Dalam dua tahun ini, saya dah lali dengan makian cuma macam peguam saya cakap tadi kita akan merayu di Mahkamah Tinggi sebab ada beberapa yang perlu diperbetulkan, semoga ia nya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ali yang memakai sut berwarna biru gelap itu dilihat tenang ketika ditemui pemberita dan ditemani oleh peguamnya, Noorazmir Zakaria.
Dalam pada itu, Noorazmir berkata, pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada Ali Puteh untuk memfailkan rayuan ke peringkat Mahkamah Tinggi.
“Saya dah bincang dengan Ali, kita dapati kita perlu merayu terhadap keputusan ini kepada Mahkamah Tinggi dan proses rayuan ini ambil masa 14 hari dari tarikh keputusan, tadi saya dah minta arahan dari Ali dan Ali sahkan (jadi) kita akan merayu.
“Kita pun masih menunggu penghakiman secara bertulis kerana kita mahu lihat dari mana hakim dapati keputusan itu dari keterangan mana dan sebagainya, perkara itu kami kena nilai semula untuk kami hujahkan di peringkat Mahkamah Tinggi.
“Apa pun kami hormati keputusan mahkamah, ini adalah tempatnya dan kita pun tak pertikai cuma kita menggunakan hak kita untuk merayu,” ujarnya. – MalaysiaGazette