Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad (kiri) diiringi Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Mohd Fadzil Abu Kasim (tengah) melakukan gimik perasmian Masjid Sebagai Pusat Khidmat Nasihat atau Rundingcara Kekeluargaan dan Sosial di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Institusi masjid perlu diketengahkan sebagai pusat khidmat nasihat atau runding cara kekeluargaan bagi mencari jalan keluar  mengurangkan kes penceraian.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad,  pihaknya mengharapkan supaya jawatankuasa masjid berperanan untuk menjadi pendamai kalau ada aduan selain daripada pihak jabatan agama.

“Kalau boleh dari pihak jawatankuasa masjid juga berperanan untuk mendamaikan kekeluargaan dari kalangan kita,” katanya kepada media selepas merasmikan masjid sebagai pusat khidmat nasihat atau runding cara kekeluargaan dan sosial di Masjid Al-Muqarabbin Bandar Tasik Selatan hari ini.

Menurut Idris, pasangan yang menghadapi masalah rumahtangga dan berfikir untuk tidak meneruskan niat mereka demi anak-anak.

“Saya harap kalau nak bercerai kena fikir anak, bayangkan anak dahulu. Kalau ibu bapa tak fikir sangat pasal anak tapi kena bayangkan anak sebab jika berlaku kes penceraian ini anak akan jadi mangsa.

“Kita kena ingat masa depan anak-anak akan bergantung kepada mereka. Kalau mereka rosak akan memusnahkan negara.

“Jadi kebanyakan kes vandalisme, masalah sosial antara budak-budak sekolah berpunca daripada penceraian,” katanya.- MalaysiaGazette