Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang menetapkan indeks pencapaian utama (KPI) bagi pelaburan bernilai RM18 billion pada tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, KPI tersebut  mampu dicapai kerana berdasarkan maklumat terkini, potensi pelaburan di bawah seliaan Unit Antarabangsa ketika ini adalah dianggarkan bernilai RM45.7 bilion.

“Jumlah RM45.7 bilion ini melibatkan 20 projek pelaburan langsung domestik (DDI) dan 42 projek pelaburan langsung asing (FDI).

“Perincian 62 projek berpotensi ini melibatkan 33 projek dalam pra-rundingan di mana dua projek dalam rundingan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Manakala 18 projek telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan sembilan projek telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA).

Jelas Wan Rosdy, projek semua berpotensi melibatkan pelabur dari 10 negara iaitu China, Singapura, Thailand, Indonesia, Australia, Hong Kong, Switzerland, Perancis, Korea Selatan dan Malaysia sendiri.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga komited menyediakan persekitaran yang kondusif serta kestabilan politik yang meyakinkan demi menarik minat pelabur untuk mengembangkan perniagaan dan menanam modal di negeri ini.

Terdahulu, Pahang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.8 billion melibatkan RM987 juta daripada pelaburan domestik, dan RM9.8 billion daripada pelaburan antarabangsa pada 2021.

Kerajaan Pahang membuka lembaran baru dalam usaha melonjakkan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri dengan memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM5.5 bilion hari ini di Johor Bahru.

Wan Rosdy berkata, perjanjian tersebut melibatkan enam projek pelaburan dimeterai di antara Badan Berkanun Negeri Pahang dengan syarikat-syarikat pelabur luar negara iaitu dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan.

Antara  projek pelaburan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) dengan Ciptaan Gabungan Global Sdn Bhd (Golden Prosperous International Pte Ltd) dari Singapura melibatkan Projek Kilang Pengeluaran Aloi Mangan berkeluasan 100 ekar di Gebeng dengan nilai pelaburan RM1 bilion.

Jelasnya kerjasama antara PSK dengan Golden Sea Farm (M) Sdn Bhd dari Thailand melibatkan Projek Taman Akuakultur Penternakan Udang berkeluasan 160 ekar di Rompin dengan nilai pelaburan RM40 juta.

“Projek ketiga PPSK dengan BAF Aqua Sdn Bhd (BAF Pte Ltd) dari Thailand melibatkan Projek Ternakan Udang dan Ikan Berteknologi Tinggi berkeluasan 130 ekar di Rompin dengan nilai pelaburan RM105 juta.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan IBN Lovocean Sdn Bhd (South Ocean Development LLP) dari Singapura melibatkan Projek Pelancongan Rompin Eco Tourism Park berkeluasan 231 ekar di Sempadan Rompin-Pekan dengan nilai pelaburan RM90 juta.

“Pahang Go Sdn Bhd dengan M-Trip Sdn Bhd dari China melibatkan Projek Aplikasi Mudah Alih Bagi Pelancongan di Pahang dengan nilai pelaburan RM66 juta,” katanya.

Selain itu, kerjasama antara TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) dengan Pekan Power Plant Sdn Bhd dari Korea melibatkan Cadangan Pembangunan Janakuasa Elektrik 1,200MW berkeluasan 100 ekar di Tanjung Agas, Pekan dengan nilai pelaburan RM4.21 billion.

Wan Rosdy berkata, perjanjian pelaburan itu mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor di Pahang.

Sepanjang tahun 2021, kerajaan negeri telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.8 billion melibatkan RM987 juta daripada pelaburan domestik dan RM9.8 billion daripada pelaburan antarabangsa. – MalaysiaGazette