Syed Ibrahim Syed Noh.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan telah menutup rundingan dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkaitan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Muda telah menolak tiga kerusi yang ditawarkan oleh PKR kepada parti pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu.

Syed Ibrahim mendedahkan dalam beberapa siri rundingan yang diadakan, Muda menuntut kerusi milik PKR di kawasan bandar.

“Ia turut menjadi sulit apabila kerusi yang dituntut merupakan kerusi bandar dan campuran yang tidak mudah dicatur tanpa mengambil kira kekuatan yang ada pada PKR.

“Justeru, rundingan tidak dapat diteruskan.

“Sebagai anggota komponen Pakatan Harapan, PKR tetap berpegang kepada muafakat bersama rakan-rakan yang menekankan kesetiakawanan tanpa ugutan atau ancaman,” kata Syed Ibrahim dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan supaya semangat kesetiakawanan dalam Pakatan Harapan tidak dicemari hanya kerana tuntutan.

Syed Ibrahim menggesa agar pembangkang memberi tumpuan kepada kerusi yang ditandingi untuk membela rakyat dan membawa masa depan serta maruah Johor dan rakyatnya.

Syed Saddiq hari ini memberi bayangan kemungkinan berlaku pertembungan antara calon parti itu dan PKR di kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, Muda telah mengadakan beberapa siri rundingan rasmi bersama pimpinan PKR, namun pengumuan calon oleh PKR telah menamatkan rundingan rasmi bersama Muda.

“Meskipun begitu, Muda telah menyampaikan niat dan hasrat Muda untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi Muda-PKR kepada rakan DAP dan Amanah. Muda juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama PKR.

“Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan kerusi Muda-PKR, pimpinan Muda akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini.

“Sekiranya pertindihan kerusi antara Muda-PKR tidak dapat dielakkan, Muda akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.-MalaysiaGazette