Sesi menandatangani dokumen MoU UiTM dan Ptptn disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Janor manakala PTPTN pula diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid di Kuching hari ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama strategik meningkatkan literasi kewangan dan keusahawanan.

Kedua-dua institusi tersebut menandatangani perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) hari ini.

MoU ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam membudayakan penabungan awal melalui simpanan pendidikan, kata satu kenyataan PTPTN hari ini.

Pada masa yang sama, kerjasama itu juga diharapkan dapat membangunkan modal insan kepada pelajar UiTM melalui inisiatif program kemahiran yang berkualiti agar graduan memenuhi keperluan industri apabila tamat pengajian nanti.

Dalam majlis tersebut, UiTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Janor manakala PTPTN pula diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki
Abdul Majid.

Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof Dato Dr Jamil Hamali, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan pegawai-pegawai kanan kedua-dua institusi.

Melalui memorandum persefahaman ini, UiTM dan PTPTN juga akan berganding bahu menjalankan program-program literasi kewangan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Literasi kewangan dan keusahawanan amat penting khususnya untuk generasi muda dan kegagalan merancang kewangan boleh menyebabkan golongan muda menghadapi masalah kewangan dalam kehidupan.

Program keusahawanan pula menggalakkan pelajar untuk menubuhkan perniagaan sendiri yang boleh menjadi sumber pendapatan utama tanpa perlu bergantung kepada pekerjaan dalam sektor kerajaan atau swasta yang amat sengit persaingannya.

Antara aktiviti yang bakal dijalankan ialah seminar dan webinar pengurusan kewangan dan taklimat kerjaya untuk melahirkan pelajar yang lebih berkualiti dan memenuhi kehendak industri.

Aktiviti juga tidak terhad kepada pelajar sahaja tetapi meliputi graduan dan alumni UiTM, kata kenyataan yang sama.

Selain itu kerjasama penyelidikan khususnya dalam bidang kewangan juga akan dijalankan oleh UiTM dan PTPTN.

UiTM diakui memiliki kekuatan kepakaran dalam bidang pengurusan perniagaan dan kewangan manakala PTPTN mempunyai pengalaman yang luas dalam pengurusan pinjaman pelajar menjadikan kerjasama penyelidikan tersebut mampu menghasilkan idea-idea baru khususnya dalam bidang perancangan kewangan.- MalaysiaGazette