Seramai 87 individu termasuk wanita yag ingkar SOP di sebuah pusat hiburan di Jalan Puncak ibu negara dikompaun manakala tiga daripadanya direman positif dadah semasa serbuan IPD Dang Wangi awal pagi tadi.Gambar Ihsan polis Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Seramai 87 individu yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan dikompaun kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dilakukan pada jam lebih kurang 1.45 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dang Wangi di sebuah pusat hiburan yang beroperasi di Jalan Puncak, di sini.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam premis hiburan itu mendapati berlaku pelanggaran SOP oleh premis dan juga pelanggannya dalam tempoh pelan pemulihan negara fasa 4.

“Dalam pemeriksaan tersebut, seramai 87 orang terdiri daripada 62 orang warganegara tempatan iaitu 20 lelaki dan 42 wanita serta 25 warganegara asing iaitu 11 lelaki dan 14 wanita dikesan leka berhibur tanpa mematuhi SOP.

“Kesemua mereka ditahan dan dilibatkan dalam ujian saringan air kencing bagi pengesanan dadah dalam tubuh badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga individu positif dadah jenis thc dan methamphetamine.

Menurutnya, ketiga-tiga individu warga tempatan yang disahkan positif dadah itu direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Selain itu, kesemua 87 individu termasuk tiga positif dadah yang diperiksa juga telah dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM87,000 iaitu RM1,000 seorang di bawah perkara 16 (1) PPDPPB (PPN) 2021 kerana tidak mematuhi SOP (PPN) fasa 4,” katanya. – MalaysiaGazette