Dadah jenis heroin seberat 4.53 Kilogram yang dirampas dari Kereta Proton X70 milik sindiket tiga suspek termasuk ibu tunggal dalam serbuan di sebuah residensi di Maluri Cheras oleh JSJN KL baru-baru ini.Gambar Ihsan JSJN KL

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi oleh tiga suspek tempatan termasuk wanita ibu tunggal yang aktif di sekitar Lembah Klang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, bertindak di atas maklumat risikan, pada 18 Februari lalu jam 9.25 pagi,pasukannya telah menjalankan satu operasi berkaitan pengedaran dadah jenis heroin oleh sindiket warga tempatan.

Katanya, operasi tersebut yang dinamakan sebagai Ops Bret telah dijalankan di sebuah residensi di Maluri Cheras.

“Hasil pemeriksaan di dalam salah sebuah unit di residensi mewah itu polis berjaya menangkap seramai dua lelaki dan seorang perempuan tempatan yang berumur di antara 26 hingga 41 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pihak polis berdasarkan soal siasat telah mengeledah di dalam sebuah kereta jenis Proton X70 milik salah seorang suspek sebelum telah menjumpai sebuah beg galas yang berisi 10 bungkusan plastik berisi dadah berbahaya disyaki jenis heroin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, rampasan heroin itu dianggarkan seberat 4.53 kilogram bernilai RM61,231 dan polis turut menemui wang tunai sebanyak RM671 disyaki hasil jualan dadah sekaligus menjadikan nilai keseluruhan rampasan itu berjumlah RM61,902.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua suspek yang bekerja sendiri ini telah beberapa kali ditangkap berkait kes narkotik.

“Salah seorang suspek lelaki telah berkeluarga, seorang lagi masih bujang manakala suspek perempuan pula adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak.

“Dadah jenis heroin tersebut dipercayai diedarkan oleh suspek untuk pasaran di sekitar Lembah Klang dan pengakuan mereka mendedahkan bekalan terlarang itu telah diperolehi daripada sebuah negeri di Utara Semenanjung.

“Justeru, hasil ujian saringan awal polis yang dilakukan dapati kedua-dua lelaki positif dadah jenis methamphetamine manakala perempuan dapati negatif daripada sebarang jenis dadah,” ujar beliau.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan itu telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tempoh di antara lima hingga tujuh hari bermula 19 hingga 25 Februari ini.

Tegas beliau, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 9054 orang pengguna (user) dadah.

“JSJN Kuala Lumpur juga meminta kerjasama dari orang awam dalam menyalurkan sebarang maklumat aktiviti atau kegiatan penyalahgunaan dadah melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam).-MalaysiaGazette