PICKids children Covid-19 vaccination vaccine
A child receiving his Covid-19 vaccine in conjunction with the National Covid-19 Immunisation Programme for Children (PICKids) at the vaccination centre.

KUALA LUMPUR – Dalam tempoh satu setengah bulan pertama tahun ini, bilangan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun yang dijangkiti Covid-19 seramai 50,826 orang.

Pecahan kes daripada jumlah itu ialah kategori 1 seramai 15,817 orang, kategori 2 (34,857 orang), kategori 3 (120 orang), kategori 4 (28 orang) dan kategori 5 (empat orang).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu pola penggunaan katil harian pesakit Covid-19 di kalangan mereka didapati semakin meningkat seiring dengan kenaikan kes dalam negara.

“Peningkatan itu dilihat lebih ketara dalam Februari ini terutama bagi kategori 2 hingga kategori 5.

“Pola yang sama juga diperhatikan bagi penggunaan katil harian pesakit Covid-19 di kalangan kanak-kanak remaja berumur 11 hingga 17 tahun,” katanya dalam kenyataan kepada media, pagi ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan disebabkan penularan varian Omicron dan peningkatan pergerakan mereka dalam komuniti.

Ini katanya, susulan pembukaan semula sesi persekolahan, pusat jagaan kanak-kanak dan bayi yang menyebabkan risiko pendedahan mereka kepada jangkitan Covid-19.

Kanak-kanak, katanya, telah terkesan secara langsung akibat pandemik Covid-19 yang telah mengganggu kehidupan keluarga serta aspek sosial mereka.

“Aspek persekolahan dan pendidikan juga terkesan dan pandemik yang berlarutan ini telah memberi kesan tidak sihat kepada perkembangan psikologi dan sosial kanak-kanak.

“Meskipun gejala jangkitan Covid-19 di kalangan kanak-kanak kebiasaannya kurang serius berbanding dewasa, namun terdapat juga kes yang memerlukan rawatan di hospital dan sebilangannya memerlukan rawatan intensif di ICU.

“Antara gejala yang sering dialami kanak-kanak dijangkiti Covid-19 adalah batuk dan selesema berterusan melebihi seminggu, bernafas laju, kurang aktif, kurang selera makan, demam berterusan dan muntah atau cirit birit,” katanya.

Jelas Dr. Noor Hisham, dalam keadaan yang lebih serius, kanak-kanak boleh mengalami sakit dada atau sakit perut, kurang tahap kesedaran dan juga sawan.

Katanya, Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) adalah salah satu keadaan kritikal yang boleh berlaku akibat jangkitan Covid-19, di mana terjadinya keradangan organ dalaman terutama jantung, paru-paru dan otak.

Sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan Covid-19, iaitu 25 kes bagi berumur 1 tahun, (1 hingga 5 tahun) 38 kes, (5 hingga 9 tahun) 64 kes, 9 hingga 12 tahun) 36 kes dan 12 tahun sebanyak 11 kes.

Sehingga kini, tujuh kes atau empat peratus kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan Covid-19.

“Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid (sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan) dengan data terhad menunjukkan risiko ini lebih rendah berbanding orang dewasa.

“Namun, buat masa ini tidak banyak yang diketahui mengenai kesan jangkamasa panjang Long- Covid kepada kanak-kanak,” ujar beliau.

Beliau berkata, kumpulan kanak-kanak berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid -19 serius adalah yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti.

Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko itu adalah dengan kawalan kendiri dan juga vaksinasi.

Vaksin Covid-19 Comirnaty (Pfizer-BioNTech) telahpun diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak lima sehingga 11 tahun di Malaysia.

Kata Dr. Noor Hisham lagi, dari kajian klinikal, keberkesanan vaksin itu adalah sebanyak 91 peratus serta berupaya meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit Covid-19. – MalaysiaGazette