GEORGE TOWN – Sepasangan suami isteri berdepan detik cemas apabila tersesat di hutan ketika menggunakan jalan pintas sewaktu menuruni Bukit Jambul, di sini, semalam.
Mereka yang masing-masing berusia 56 dan 58 tahun itu melakukan aktiviti mendaki bukit tersebut bertindak menghubungi talian kecemasan apabila gagal menemui jalan keluar.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Sha’ari Mansor berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.38 petang.
Katanya, pasukan yang terdiri daripada tujuh anggota itu bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan sebelum menemui pasangan suami isteri itu dalam keadaan lemah.
“Pencarian dilakukan mengikut laluan yang didakwa dilalui mangsa.
“Pasukan penyelamat kemudian menemukan pasangan berkenaan kira-kira 400 meter dari laluan pendakian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Sha’ari, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan lemah manakala lelaki berkenaan mengalami cedera ringan di bahagian pinggul dan betis akibat terjatuh.
Sha’ari berkata, ketika mendaki, mangsa sebelum itu dipercayai mahu berpatah balik menggunakan jalan pintas namun menyedari sudah tersasar daripada laluan pendakian.
“Pasangan terbabit mendakwa sudah tersesat hampir dua jam sebelum menghubungi talian kecemasan.
“Pasukan penyelamat berjaya menurunkan kedua-dua mangsa kira-kira 45 minit perjalanan ke kaki bukit dan operasi tamat 7.26 malam,” kata beliau. – MalaysiaGazette