Tangkap layar menunjukkan pihak polis berjaya mengawal kekecohan yang berlaku di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak pada Jumaat lalu.

IPOH – Perselisihan faham antara sekumpulan lelaki dengan pengawal keselamatan dikatakan punca berlaku kekecohan di pekarangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada Jumaat lalu.

Kekecohan yang berlaku sekitar jam 12.20 tengah malam itu membabitkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang mahu menghantar tiga mangsa cedera untuk mendapatkan rawatan di hospital tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebelum kejadian kekecohan itu, berlaku satu kes mendatangkan kecederaan oleh seorang lelaki menggunakan senjata tajam.

Jelas beliau, kejadian itu telah mengakibatkan tiga individu mengalami kecederaan dan menerima rawatan di HRPB.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan berlakunya perselisihan faham antara dua keluarga mengenai isu percintaan.

Tangkap layar menunjukkan berlaku perselisihan faham antara sekumpulan lelaki dengan pengawal keselamatan hospital tersebut.

“Manakala kekecohan yang berlaku di pekarangan hospital pula membabitkan sekumpulan lelaki yang ingin menghantar mangsa-mangsa cedera berkenaan ke hospital dengan pengawal keselamatan di situ.

“Perselisihan faham itu membawa kepada insiden kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan hospital terbabit namun tindakan segera polis telah berjaya mengawal keadaan,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Tambah Mior Faridalathrash, pihaknya telah menerima dua laporan membabitkan dua kes namun melibatkan kumpulan sama.

“Polis kini sedang memburu suspek-suspek yang terlibat dalam kedua-dua kes berkenaan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi  Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019 250 0019.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 28 saat memaparkan pekarangan Jabatan Kecemasan HRPB kecoh dengan kelibat sekumpulan lelaki dalam keadaan menjerit-jerit.

Kelihatan juga beberapa individu dalam keadaan lemah dipercayai cedera, selain tompokan darah pada baju. – MalaysiaGazette