Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sanggup dan bersedia melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atasnya.

Presiden UMNO itu menegaskan, sepanjang Presiden Bersatu itu menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pernah pergi berjumpanya, apatah lagi dengan membawa timbunan fail minta untuk dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

“Jadi, saya ingin bertanya, adakah beliau juga bersedia dan sanggup untuk melakukan perkara yang sama? Iaitu bersumpah laknat bagi mengesahkan tuduhan jahat beliau ke atas saya?

“Saya ingin tegaskan, semasa saya menjadi Presiden UMNO, saya sendiri secara peribadi menyokong dan menaikkan Muhyiddin sebagai perdana menteri dengan meminta 43 Ahli-ahli Parlimen BN khususnya dari UMNO untuk menyokong beliau dengan menandatangani SD.

“Sedangkan, sewaktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, beliau yang pada satu peringkat hampir menandatangani pembatalan pendaftaran UMNO,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Ketika berceramah di Tangkak, Johor Khamis lalu, Muhyiddin mendakwa Ahmad Zahid pernah bertemunya untuk meminta campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapinya.

Muhyiddin dilaporkan berkata, Ahmad Zahid melawatnya selepas dia dilantik sebagai perdana menteri dengan membawa fail bertimbun.

Menurut Ahmad Zahid, ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri juga, ligat membuat percaturan belakang dengan menyusun pelbagai usaha dan pelan untuk memecahbelahkan UMNO dari dalam.

Ini katanya, termasuk dengan menawarkan ‘scheme of things’ kepada beberapa anggota pimpinan UMNO.

“Dalam cerita-cerita ini, prinsipnya mudah – kebenaran itu berpilih-pilih. Perkara yang dianggap jahat dan menyalah gunakan kuasa hanya akan menjadi salah dan jahat jika tidak menyebelahi pihak mereka.

“Semua mengetahui, sebaik sahaja Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu berkuasa, beberapa siri tekanan telah diberikan. Antaranya, UMNO mesti menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dan saya sendiri serta mana-mana pemimpin yang berselisih secara peribadi dengan mana-mana pemimpin PH dan Bersatu.

“Pemimpin UMNO mesti dituduh dan didakwa sebanyak mungkin. Melainkan mereka bersetuju menyertai Bersatu, maka tuduhan akan digugurkan serta merta seperti keistimewaan diberikan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Mas Ermiyati Shamsudin yang pada mulanya dituduh, namun digugurkan tuduhan mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan, pemimpin UMNO mesti membuktikan mereka bersih dan tidak bersekongkol dengan kejahatan seperti membubarkan sepenuhnya parti itu, malah wajar mengelakkan diri dari disiasat dengan membawa masuk seramai mungkin ahli serta pemimpin ke dalam Bersatu.

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, pemimpin UMNO juga dianggap sebagai terus bersalah sekali pun pendakwaan atau perbicaraan mahkamah masih berjalan.

“Jika pemimpin di pihak mereka seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Lim Guan Eng yang didakwa, mereka bukan kluster mahkamah dan prinsip innocent until proven guilty terpakai kepada mereka, tetapi tidak kepada pemimpin UMNO.

“Menjelang sahaja musim PRK atau PRN, akan keluarlah cerita, pemimpin UMNO bawa fail. Pemimpin UMNO buat rundingan. Pemimpin UMNO itu, pemimpin UMNO ini.

“Jika tidak ada pilihan raya, tidak keluar apa-apa cerita. Tiada fail, tiada rundingan. Sekali pun pada masa tersebut, si penjaja cerita memegang jawatan tertinggi dalam negara,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, oleh kerana tidak ada pilihan raya sama ada PRK atau PRN, maka semua cerita yang dikatakan itu seperti tidak perlu didedahkan.

“Jadi, saya tidak pelik. Cerita pemimpin UMNO bawa fail, merayu, berunding atau apa sahaja. Semua itu akan terus keluar dan percayalah, saya memberi spoiler awal di sini. Selepas ini pasti akan lebih banyak cerita.

“Kita tunggulah selepas penamaan calon dan tempoh berkempen dalam PRN Johor nanti.

“Pelbagai cerita pemimpin UMNO akan terus dijaja. Strategi mereka, jika tidak boleh menyerang calon UMNO di Johor, alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. rakyat MUAK MUNTAH DENGAN GELAGAT PIMPINAN YANG GILA KUASA RASUAH PUTAR BELIT KATAK MENIPU MANDAT DAN MANFESTO RAKYAT disebalik MOMOKAN DEMI RAKYAT dan DENYUT NADI RAKYAT

    BOIKOT PRN/PRU SEBAGAI PENGAJARAN PADA MEREKA…..yang mana intan dan yang mana permata

Comments are closed.