Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Politik negara semakin parah dan memalukan, apabila dua pemimpin dari parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini saling membogelkan antara satu sama lain.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, sikap tidak matang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan musuhnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memalukan umat Islam.

“Politik Negaraku Malaysia semakin parah dan memalukan, di manakah umat Islam Malaysia mahu simpan air muka dan keaiban?

“Muhyiddin mendedahkan Zahid datang berjumpanya membawa fail bertimbun minta tolong selesaikan kes mahkamahnya. Waduh.. malunya. Presiden parti keramat, Mahiadin sudah bogelkan Zahid.

“Zahid yang menerima tempelak Mahiadin, bertindak balas dengan cara menangkisnya. Zahid kata, beliau sanggup bersumpah laknat bagi menafikan tuduhan Mahiadin sebagai fitnah dan tidak benar sama sekali.

“Sapa yang berkata benar?,” soal beliau dalam kenyataannya kepada media, hari ini.

Ketika berceramah di Tangkak, Johor Khamis lalu, Muhyiddin mendakwa Ahmad Zahid pernah bertemunya untuk meminta campur tangan dalam kes mahkamah yang dihadapinya.

Muhyiddin dilaporkan berkata, Ahmad Zahid melawatnya selepas dia dilantik sebagai perdana menteri dengan membawa fail bertimbun.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam kenyataannya semalam, sanggup dan bersedia sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin ke atasnya.

Presiden UMNO itu menegaskan, sepanjang Presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri, beliau tidak pernah pergi berjumpanya, apatah lagi dengan membawa timbunan fail minta untuk dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

Menurut Ibrahim, sebelum ini kedua mereka adalah kawan rapat, kawan seperjuangan dan kawan sesama dalam parti keramat.

Namun, apabila sudah bergaduh, masing-masing membogelkan satu sama lain dalam keadaan rakyat masih tenat akibat Covid-19 dan pengurusan ekonomi yang gagal akibat salah guna kuasa serta rasuah.

Tegas beliau, rakyat merintih dan menangis, manakala pemimpin pula asyik bertengkar sampai bogel membogel.

“Tidak ada rasa malukah dan di manakah nilai-nilai ajaran Islam serta adat budaya bangsa?

“Mutakhir ini sudah bertimbun berita-berita jijik melibatkan banyak pemimpin bertaraf perdana menteri, menteri dan menteri besar. Malu dan memalukan.

“Mungkin sudah tiba masanya, sebelum keadaan makin melarat, ada di kalangan ahli politik eloklah buat pemeriksaan kesihatan mental dan berubat di Tanjung Rambutan atau di Tampoi, Johor,” sindir beliau.

Kata Ibrahim, tahap kesihatan mental pemimpin politik dan negara kini amat dikhuatiri dalam keadaan kritikal.

Ini, diukur daripada kenyataan, ucapan serta pelbagai pendedahan mereka melalui media sosial.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ianya sudah pada tahap amat serius dan akan menjejaskan lagi kesejahteraan rakyat yang sudah pun tenat dan pastinya akan lebih tenat.

“Wahai pemimpin Melayu, berhentilah memalukan bangsa sendiri. Perebutan kuasa ini tidak memberi apa-apa keuntungan pun kepada rakyat.

“Berehatlah demi kesihatan diri dan kasihanilah rakyat. Terimalah nasihat dan keluhan ikhlas ini iaitu daripada seorang pejuang politik yang ada harga diri dan maruah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Masih kemaruk undi pekerja warga asing timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris rasa bangga ke?

Comments are closed.