Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) tidak bercadang untuk melakukan rombakan pengurusan Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya mahu memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan dakwaan isu integrit lima pegawai kanan agensi itu.

“Saya tidak mahu campur lagi sebab dia masih dalam siasatan.

“Biarlah siasatan ini selesai dan baru kita ambil apa-apa tindakan yang sepatutnya,” katanya pada sidang media di Hotel Premiera, di sini, hari ini.

SPRM sudah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan isu integriti dan salah guna kedudukan membabitkan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim memberitahu, setakat ini sejumlah 30 saksi termasuk Ahli Lembaga Pengarah (BOD) Mara Corporation (Mara Corp), pengurusan Mara dan pegawai bank telah dipanggil untuk direkodkan keterangan sepanjang siasatan dijalankan.

Menurutnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan pada minggu depan untuk penelitian dan keputusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast