ALOR GAJAH – Seorang penuntut universiti yang bekerja sebagai penghantar makanan maut selepas motosikal ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori di Bulatan Seri Bayan, Durian Tunggal, di sini lewat pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa Jannahtul Firdaus Jailani, 24, yang juga penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang Honda RS150R dalam perjalanan dari arah Gangsa ke Batu Berendam, manakala lori berkenaan dari arah Gangsa menuju ke Taman Merdeka.

“Nahas berlaku apabila lori yang berada di lorong kiri di dalam bulatan dilanggar motosikal ditunggangi mangsa pada bahagian tepi hadapan sebelah kanan ketika hendak membelok ke kanan.

“Siasatan juga mendapati terdapat kesan geseran di lokasi kemalangan dan setakat ini tiada saksi tampil untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Arshad, pelanggaran itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

Pemandu lori berusia 34 tahun tahun yang tidak cedera katanya telah diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast