KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memberi amaran kepada DAP agar berhenti membuat sebarang provokasi sehingga mencemarkan imej agama Islam di negara ini.
Naib Presidennya, Mohd Noor Azib Asmangi berkata, tindakan pemimpin DAP hanya menggambarkan institusi agama dan umat Islam di negara ini sebagai kejam.
“Bagi pemimpin parti politik terutama DAP berhenti membuat sebarang provokasi palsu yang menampakkan institusi agama dan orang-orang lslam itu kejam.
“Ia seolah-olah berlaku penculikan dan paksaan untuk beragama terhadap kanak-kanak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan seorang ibu tunggal dalam permohonan habeas corpus untuk mendapatkan tiga anaknya yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, arahan itu berkuat kuasa serta-merta.
Pada 2019, Siew Hong mendapat hak penjagaan sementara tiga anaknya dan hak penjagaan penuh pada Disember tahun lalu.
Wanita itu kemudian membuat laporan polis bagi meminta kepulangan tiga anaknya yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Anak-anak Siew Hong kini berada bawah jagaan JKM sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi.
Dalam pada itu, ISMA juga mahu semua ahli politik Islam tidak mengira parti agar memelihara akidah kanak-kanak yang telah menyatakan keislaman mereka secara sukarela.
“Perkembangan terkini melihatkan ibu kanak-kanak ini akan mencabar penukaran agama di mahkamah.
“ISMA mahu semua umat lslam untuk sama-sama mempertahankan akidah kanak-kanak ini dalam apa jua cara sekali pun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette