ALOR GAJAH – Melaka akan mengedarkan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen Covid-19 sendiri yang jauh lebih murah daripada pasaran bermula Mac ini.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia susulan Perbadanan Bioteknologi Melaka Biotek baharu mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk mengedarkan RTK di negara ini.

“Jika semuanya berjalan lancar, alat ujian Covid kendiri ini akan mula diedarkan di pasaran tempatan bermula awal bulan depan, sekali gus dapat menampung keperluan dan permintaan yang semakin meningkat di negeri ini.

“Perbadanan Bioteknologi sudah diberi tanggungjawab untuk membawa masuk kit ujian RTK berkenaan ke Malaysia dan akan dijual dengan harga lebih murah, seperti janji kita dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) Daerah Alor Gajah di Hospital Alor Gajah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketika ini harga kit ujian berkenaan di pasaran adalah RM4.90 seunit, namun Melaka akan mula menjual alat edaran Perbadanan Bioteknologi itu pada harga lebih murah lagi khususnya di beberapa farmasi terpilih.

“Saya yakin, langkah itu akan dapat membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan alatan ujian RTK terbabit,” katanya.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, Melaka kini menjadi negeri tertinggi dalam pemberian vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Sejak vaksin mula diagihkan di bawah PICKids 8 Februari lalu, sebanyak 23 peratus kanak-kanak yang layak menerima vaksin sudah menerima suntikan berkenaan.

“Jumlah itu saya yakin akan terus meningkat khususnya pada cuti persekolahan bermula minggu depan dan insya-Allah, saya yakin menjelang pertengahan yang bakal menyaksikan angka kanak-kanak menerima vaksin mencecah 50 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette